Bunyi letupan disangka pencuri, rupanya rumah terbakar

Bunyi letupan disangka pencuri, rupanya rumah terbakar

SUZILAWATI Abdullah (dua dari kiri) bersama ibunya, Jelimah Yahya (kanan) menunjukkan barang-barang perniagaannya yang musnah kepada Ketua Kampung Felda Sungai Mas, Nizam Ali ketika melawat rumah mereka terbakar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Bunyi letupan berjaya menyelamatkan sebuah keluarga di Felda Sungai Mas dekat sini daripada dalam kebakaran, awal pagi tadi.

Suzilawati Abdullah, 38, berkata, ketika kejadian dia dan ibu bapanya, Jelimah Yahya, 67 dan Abu Bakar Ahmad, 75, serta dua anaknya sedang tidur sebelum dikejutkan dengan jeritan ibunya memberitahu rumah mereka terbakar.

“Ibu dengar bunyi letupan, menyangka bapa saya terjatuh. Selepas keluar bilik ibu dapati rumah di bahagian belakang telah terbakar. Saya dengar juga bunyi kuat itu, namun masa tu menyangka rumah dipecah masuk orang dan tidak berani hendak keluar.

“Selepas ibu menjerit, saya terus keluar mendapati rumah sudah penuh dengan asap. Saya menyuruh anak-anak keluar selamatkan diri dan capai apa sahaja yang sempat diselamatkan. 

“Jiran-Jiran juga masa itu telah datang untuk bantu padamkan api. Saya dan ibu bantu bapa yang tidak kuat berjalan untuk menyelamatkan diri. Syukur juga sempat selamatkan kenderaan seperti kereta dan motosikal, ” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia hari ini.

KETUA Kampung Felda Sungai Mas, Nizam Ali (dua dari kiri) menyerahkan sumbangan kepada Jemilah Yahya (tiga dari kanan) dan anaknya Suzilawati Abdullah selepas kediaman mereka terbakar malam tadi.

Selain ruang belakang rumah, turut terbakar barang-barang yang digunakan untuk perniagaannya termasuk peti ais.

“Saya berniaga cendol dan makanan di Kampung Baru Sungai Mas. Kami memang memasak di rumah, kemudian baru bawa ke kedai makan memang itu rutin kami.

“Bahkan perniagaan ini juga adalah satu-satunya punca pendapatan kami. Memang sedih bila kira-kira 50 peratus barang-barang untuk berniaga musnah dalam kebakaran itu.Buat beberapa hari ini mungkin tidak berniaga dahulu dan perlu fikirkan cara bagaimana untuk kami boleh berniaga semula,” katanya.

Namun, dia bersyukur kerana semua ahli keluarganya selamat dalam kebakaran itu dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan bantuan termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penawar, pihak pengurusan Felda, ketua kampung, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk setempat.

Pada masa ini, mereka sekeluarga tinggal sementara di inap desa yang disediakan pihak pengurusan Felda.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba Penyelamat (BBP) Bandar Penawar, Penolong Penguasa Bomba Khairul Sufian Dahari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan tentang kejadian itu pada pukul 12.43 tengah malam.

Seramai 15 anggota dari BBP Bandar Penawar dan BBP Sebana Cove dikejarkan ke lokasi kejadian dengan kebakaran itu telah memusnahkan 50 peratus dari keseluruhan rumah.dan punca kejadian serta  jumlah kerugian masih dalam siasatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya