PETALING JAYA: Sebanyak 44 pasukan bakal berentap pada perlumbaan BRAAAP 2 Hours Endurance 2022 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 11 Disember ini.
Pada perlumbaan yang julung kali diadakan di litar berprestij itu, sebanyak enam kategori dipertandingkan di mana tiga adalah bagi saingan endurance dan tiga lagi bagi perlumbaan sprint.
Presiden BRAAAP Motorsports, Azuan Izadee berkata, bagi acara endurance yang dibuka kepada pelumba amatur dan profesional, ia merupakan gandingan dua pelumba yang akan menunggang satu jentera secara bergilir-gilir, bagi mencatatkan bilangan lap terbanyak dalam tempoh dua jam.
Katanya, tiga kategori untuk saingan endurance adalah kelas MP150 dan MP150 elite untuk jentera Moped 150cc empat lejang serta kelas SB150 untuk jentera sportbike 150cc empat lejang.
Manakala, tambahnya, tiga kategori untuk perlumbaan ‘sprint’ pula adalah kategori SB250 dan SB250 Elite untuk jentera 250cc dan SB400 untuk jentera 400cc.
“Bagi perlumbaan ‘sprint’ saingan individu sebanyak lapan pusingan dan hanya dibuka bagi pelumba amatur sahaja.
“Tiga pemenang utama untuk setiap kategori bakal menerima trofi, hadiah berupa produk dan wang tunai,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Sehubungan dengan itu, Azuan menjemput para penonton hadir manyaksikan pertandingan tersebut di trek selatan SIC, selain acara itu juga disiarkan secara langsung menerusi Facebook.
Menurut Azuan, BRAAAP Motorsport dipelopori oleh sekumpulan penungggang tegar yang inginkan sukan pemotoran motosikal diperkembangkan lebih maju melalui pelbagai program dan aktiviti.
“Mereka yang merupakan pelumba amatur bagi perlumbaan tersebut adalah terdiri daripada pelumba yang mempunyai lesen perlumbaan yang sah dikeluarkan oleh Persatua Pemotoran Malaysia (MAM).
“Bagi mereka dalam kategori pelumba profesional pula adalah merujuk kepada pelumba yang pernah menyertai kategori perdana dan kejohahan-kejohanan antarabangsa,” jelasnya.
Selain pelumba-pelumba tempatan, tambah Azuan, pelumba jemputan dari negara jiran seperti Thailand, Indonesia, Taiwan dan Flipina akan turut menyertainya.
Katanya, dengan adanya penglibatan pelumba-pelumba dari luar negara, ianya dapat mempromosikan sukan permotoran Malaysia sehingga ke peringkat antarabangsa.
Bagi peminat sukan permotoran, butiran penuh dan maklumat terkini mengenai acara perlumbaan tersebut, boleh dilayari di laman Facebook ‘BRAAAP Motorsport’. – UTUSAN