BN-PH bergabung di PRU15 DUN Tioman bukti PN kuat - Abdul Hadi - Utusan Malaysia

BN-PH bergabung di PRU15 DUN Tioman bukti PN kuat – Abdul Hadi

ABDUL Hadi Awang (tengah) dalam sidang akhbar selepas ceramah PN di Bandar Baru Rompin di Rompin, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROMPIN: Perikatan Nasional (PN) merupakan gabungan parti politik yang kuat sehingga Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) perlu bergabung pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, 7 Disember ini.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, PN tiada masalah dan akan meneruskan gerak kerja seperti biasa bagi memastikan DUN Tioman dirampas gabungan tersebut.

“Soal BN dan PH itu (bergabung) tanya merekalah, jangan tanya saya, itu urusan mereka bukan urusan kami. Itu menandakan PH dan BN perlu bersama untuk lawan kita.

“Maksudnya kita kuatlah tu, kalau kita tak kuat dia (BN-PH) tak berpakat. Pas tak kisah, jalan macam biasa,” katanya dalam sidang akhbar selepas ceramah PN di Bandar Baru Rompin di sini semalam.

Semalam, Parti Amanah Negara (Amanah) yang merupakan komponen PH memberi laluan kepada calon BN bagi PRU15 DUN Tioman sebagai tanda kesepakatan Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri dan nasional.

Setiausaha Agung Amanah, Datuk Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli dilaporkan sebagai berkata, parti itu memandang PRU15 DUN Tioman sebagai pertembungan kerajaan baharu negeri ini dengan kelompok ekstremisme kaum dan agama yang perlu ditangani secara serius.

Kerusi DUN Tioman menyaksikan pertandingan lima penjuru antara calon BN yang juga penyandang kerusi itu, Datuk Seri Johari Hussain; calon Bebas, Sulaiman Bakar; calon parti Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Osman A. Bakar; calon PH, Mohd. Fadzli Mohd. Ramly; dan calon PN, Nor Idayu Hashim.

Pada PRU15 Sabtu lalu, PN merampas kerusi Parlimen Rompin yang sebelum ini kubu kuat BN dan menang kerusi DUN Bukit Ibam.

Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi PN berkata, gabungan itu diyakini akan mencapai kemenangan di kerusi DUN Tioman kerana sentimen pengundi yang mahukan pimpinan yang bersih dan stabil.

“Sebagaimana kita menang tempat lain (Parlimen Rompin), itu juga yang berlaku di DUN Tioman. Kita menang, kita berjaya, yang penting pengundi menentukan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.