KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) perlu bertindak sebagai pembangkang di Dewan Rakyat selepas kalah teruk dengan hanya menang 30 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Jamaie Hamil berkata, langkah itu memberi ruang kepada gabungan tersebut menyusun atur semula strategi menjadi kerajaan Persekutuan tanpa perlu bergabung dengan mana-mana parti politik.
Katanya, menjadi kerajaan dan bergabung dengan Perikatan Nasional (PN) hanya mengundang lebih banyak masalah dalam keadaan kerusi Parlimennya tidak dominan.
“Lebih baik BN jangan sertai kerajaan buat masa ini. Apabila menjadi pembangkang, mereka tidak perlu terlalu memikirkan dasar-dasar untuk membangunkan ekonomi, menjaga kepentingan kerana itu tugas kerajaan. Sebaliknya, BN perlu atur strategi kembali di peringkat Persekutuan.
“Selain itu, mereka kena betulkan semula parti dan menjaga kawasan dengan lebih baik supaya boleh menjadi semak dan imbang serta memastikan isu-isu pembangunan dan masalah rakyat tidak diabaikan.
“Sekarang, kerusi BN tidak banyak dan tidak relevan menjadi kerajaan. Jadi, biarlah parti politik lain menjadi kerajaan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Keputusan PRU15 menyaksikan parti-parti politik berdepan masalah membentuk kerajaan Persekutuan baharu kerana tiada yang mencapai majoriti mudah sekurang-kurangnya 112 kerusi Parlimen.
Pakatan Harapan (PH) menang 82 kerusi, PN (73 kerusi), BN (30 kerusi); Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang 22 kerusi; Gabungan Rakyat Sabah (GRS) (enam kerusi), Parti Warisan (Warisan) (tiga kerusi), Bebas (dua kerusi); Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing menang satu kerusi.
Sementara itu, Profesor Pengajian Tadbir Urus, Pusat Pembangunan Lestari Jeffrey Sachs (JSC), Sunway University, Prof. Wong Chin Huat berkata, menyertai kerajaan campuran pimpinan PN mengekang ruang UMNO untuk memulihkan era kegemilangannya, seperti Pas yang pernah ‘dikekang’ apabila berada dalam BN sekitar 1097 hingga 1978.
Sebaliknya, menyertai kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) tidak mengekang pemulihan UMNO kerana kawasan-kawasan Parlimen PH tidak banyak bertindih dengan BN khususnya UMNO.
“Oleh itu, pilihan yang praktikal kepada UMNO sama ada menyertai PH atau kekal sebagai pembangkang dengan menandatangani perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) dengan PH yang menjanjikan layan adil desentralisasi. Jika tidak, UMNO kekal sebagai pembangkang dengan CSA yang sama dengan PN,” katanya.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin bagaimanapun berpandangan, BN masih perlu bergabung dengan PN menjadi kerajaan jika melihat dominasi politik Melayu Islam di negara ini sebagai keutamaan.
Bagaimanapun, katanya, kuasa mutlak sudah tidak terletak pada BN dan harus menerima hakikat bahawa barisan kepemimpinan mereka bukan lagi keutamaan dalam hal-hal pembentukan kerajaan serta pelantikan jawatan utama Jemaah Menteri.
“UMNO harus akur mereka tiada lagi kuasa mutlak dalam kerajaan jika penggabungan berlaku. Ia harus diberi kepada pucuk pimpinan tertinggi dan tidak memboleh membuat permintaan atau kehendak yang melampau daripada wakil-wakil parti politik lain.
“UMNO harus sedar, sebelum ini mereka yakin boleh membentuk pentadbiran dominasi politik Melayu Islam, tapi sebenarnya rakyat telah hilang kepercayaan pada kepemimpinan mereka. Jadi, mahu tidak mahu UMNO harus menolak kepentingan parti dan individu jika bergabung dengan parti lain.
“Jika BN-UMNO faham mesej ini, kita akan wujudkan satu kekuatan dominasi politik Melayu Islam di bawah PN atas dasar membangunkan negara, ekonomi dan segala yang dirangka,” katanya. – UTUSAN










