BERA: Pembayaran Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) fasa empat yang dijadualkan pada Disember depan dipercepatkan pada 15 November ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bayaran itu akan dikreditkan ke akaun bank penerima secara berperingkat dan dijangka selesai pada 18 November.
Beliau berkata, keputusan mempercepatkan bayaran tersebut bagi membantu penerima menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula pada pertengahan November ini.
“Pembayaran yang bernilai RM2.1 bilion ini akan memanfaatkan seramai 5.2 juta penerima yang terdiri daripada penerima sedia ada kategori isi rumah dan warga emas bujang atau tiada pasangan.
“Secara keseluruhannya RM8 bilion telah diperuntukkan untuk BKM yang memanfaatkan 8.7 juta penerima bagi tahun 2022,” katanya dalam sidang akhbar pada majlis ramah mesra bersama penduduk Kampung Batu Bor di Dewan Belia Batu Bor, di sini hari ini.
Ismail Sabri berkata, untuk BKM Fasa 4 itu setiap penerima bakal menerima sehingga RM900 mengikut kategori kelayakan masing-masing.
“Pembayaran ini merupakan bayaran akhir baki nilai yang sepatutnya diterima pada tahun ini.
“Semakan status pembayaran boleh dibuat mulai 15 November 2022 dan maklumat lanjut berkaitan pembayaran ini boleh dirujuk Soalan Lazim (FAQ) di Portal Rasmi BKM melalui pautan https://bkm.hasil.gov.my,” ujarnya. – UTUSAN