Beri mandat BN untuk kerajaan stabil, makmur - Ahmad Zahid

Beri mandat kepada BN untuk kerajaan stabil, makmur – Ahmad Zahid

ISMAIL Sabri Yaakob meminta Ahmad Zahid berjiwa besar atas kekalahan RPU15.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah
BARISAN Nasional (BN) memerlukan mandat yang mencukup bagi membentuk sebuah kerajaan yang kukuh bagi mewujudkan kestabilan politik negara. Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berharap rakyat memilih BN pada hari mengundi Pilihan Raya Ke-15 (PRU15) esok untuk parti itu mentadbir negara tanpa berlaku pergolakan dan pertelingkahan politik.

Menurut Presiden UMNO itu, BN telah membuktikan keupayaannya mentadbir negara selama 62 tahun dengan aman damai kerana kerajaan yang dibentuk adalah kerajaan yang stabil. Politik negara berubah dengan pertelingkahan politik yang tidak berhenti-henti menyebabkan rakyat sengsara perlu diakhirnya dengan memberi mandat kepada BN.

Bersama Wartawan Utusan Malaysia, SAYED HESHAM IDRIS dan jurugambar, MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA, mewawancara Ahmad Zahid mengenai PRU15.

UTUSAN: Apa kombinasi calon-calon BN?
AHMAD ZAHID: Saya dan rakan-rakan dalam kepemimpinan BN telah bersama-sama memutuskan terdapat muka-muka baharu yang diketengahkan tanpa kita melupakan tokoh-tokoh dan watak-watak yang mempunyai pengalaman dalam kesinambungan kepimpinan. Jika kita mem­peroleh kerusi yang cukup, kombinasi antara pengalaman dan muka baru inilah yang menjadi hidangan BN yang ditunjangi UMNO. Kita jadikan sebagai asas sebuah kerajaan yang lebih kukuh tanpa melupakan pengalaman terdahulu, kita akui ada kesilapan dan kesalahan serta kelemahan dalam 60 tahun BN memerintah, maka azam kita adalah untuk memperbaiki semua itu, dengan menghidangkan sesuatu yang le­bih untuk rakyat semua.

AHMAD ZAHID HAMIDI

Bolehkah BN membentuk ke­rajaan bersendirian?
Setiap parti atau mana-mana gabungan parti, tetap mempu­nyai keyakinan yang boleh membentuk kerajaan, tidak kurang juga dengan gabungan parti-parti kita merasakan langkah-langkah yang bijaksana mesti dilakukan untuk kita memperkenalkan calon-calon bagi meraih kemenangan ini. Lihat sendiri di Parlimen Kuala Nerus dan Parlimen Tumpat, calon-calon itu bukan calon UMNO tapi mereka merupakan calon langsung yang menggunakan lambang BN untuk mewakili BN, InsyaAllah jika mereka menang nanti. PRU15 juga memperlihatkan tiada lagi pertembungan dua penjuru dan ini membuktikan demokrasi telah disuburkan. Lebih banyak penjuru, peluang BN lebih baik. Ini juga memperlihatkan terlalu ramai orang yang berminat menjadi calon, termasuk orang yang tidak dipilih sebagai oleh BN pun mahu menjadi calon termasuk menjadi calon Bebas.

Perancangan Amal dan Usaha (Padu) sebagai manifesto. Apa yang ditawarkan kepada rakyat?
Dalam Padu, BN menggariskan 10 teras dan 99 tawaran untuk rakyat Malaysia untuk BN diberikan mandat bagi membentuk kerajaan Persekutuan kelak. kami menawarkan kestabilan dan kemakmuran yang kita perlukan. Sesebuah parti yang berhasrat menjadi kerajaan, perlu mempunyai agenda dan pelan yang kon­krit untuk negara. Setelah empat tahun keadaan politik tidak menentu, ini adalah saat yang sangat penting untuk membuat permulaan yang baharu. Rakyat perlu memilih parti yang boleh membentuk kerajaan yang bertanggungjawab, yang pragmatik dan yang mempunyai rencana yang jelas untuk negara.

Kestabilan politik dan keraja­an yang kuat menjadi teras utama, mengapa?
Kestabilan politik boleh capai menerusi pembentukan sebuah kerajaan yang kuat. Kerajaan yang kuat berupaya meng­akhiri segala politik jelik dan pelik, lompat melompat, ugut-mengugut dan tekan-menekan. BN mampu menguruskan negara supaya menjadi sejahtera dan makmur. Ini akan dicapai dengan melaksanakan pelbagai pelan dan perancangan yang bersifat prorakyat, propembaharuan, prokemajuan dan mengutamakan keterangkuman. Dalam hal ini, kami tidak boleh berse­orangan, BN kami memerlukan soko­ngan dan penglibatan semua. Apa yang kami tawarkan adalah terbaik untuk negara. Rakyat yang mengalami penderitaan selepas PRU14 diharap agar kembali menyokong BN. Selama 22 bulan PH memerintah diikuti 17 bulan di bawah PN, rakyat tidak memperoleh apa yang dijanjikan kepada mereka sehingga digelar kerajaan gagal.

AHMAD Zahid Hamidi ketika berucap di hadapan lebih 3,000 masyarakat Cina dalam Majlis Makan Malam Bersama Pengerusi BN anjuran komuniti Cina di Bagan Datuk, baru-baru ini.

Bagaimana calon-calon BN yang digugurkan?
Biarpun parti tidak memilih mereka semula, kesetiaan kepada parti menjadi keutamaan namun demikian ada juga yang menyatakan sedemikian tetapi tidak me­ngotakan apa yang telah mereka katakan, jadi mereka mempu­nyai kebebasan untuk bertanding sama ada atas tiket parti lain atau pun Bebas namun mana-mana pemimpin atau ahli yang bertan­ding atas tiket parti lain atau bebas secara automatik mereka gugur sebagai ahli UMNO termasuk pencadang, penyokong dan jentera yang mereka telah bentuk.

Ada calon Pas yang bertanding atas tiket BN?
(Datuk Mohd. Khairuddin Aman Razali calon BN Parlimen Kuala Nerus). Kita ketahui beliau antara pendukung kuat Muafakat Nasional (BN), beliau telah menarik diri sebagai ahli Pas kerana yakin MN harus dihidupkan dan atas kepercayan itu maka beliau telah berhasrat jadi calon di Parlimen Kuala Nerus. Kita lihat hari penamaan calon beliau diapit oleh bekas Menteri Besar Terengganu dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus dan tentunya realiti politik baharu kita mesti lebih terbuka untuk memberikan peluang kepada hasrat akar umbi yang mahukan MN 2.0 direalisasikan semula.

Adakah kesan Tan Sri Noh Omar tidak dicalonkan.
Saya mempunyai peranca­ngan lain untuk Noh Omar. Saya telah memberitahu beliau dan tentunya kalau beliau bijaksana, beliau sendiri akan turun ke bawah dan menentukan calon baharu di tempat beliau akan memberi kemenangan, maka apa yang telah saya beritahu beliau itu akan dapat beliau peroleh, tapi kalau sebaliknya tentu beliau tahu risiko untuk rancangan baru itu tidak akan tercapai.

Bagaimana kempen yang telah dijalankan BN?
KEMPEN berjalan dengan penuh keharmonian. Kempen dijalankan ikut cara masing-masing mengikut tata atur yang ditetapkan SPR, keharmonian inilah yang perlu dipertahankan di seluruh negara, perbezaan-perbezaan parti politik tidak menjadi sebab untuk terutama calon apatah la­gi jentera dan penyokong me­nimbulkan kekecohan yang tidak sihat, saya minta semua calon jentera dan penyokong mengikut peraturan. Pendekatan mengutuk atau mengaibkan mana-mana calon lawan tidak harus dilakukan. Saya bukan sekadar tidak menyebutkan perkara-perkara yang tidak baik mengenai seseorang malah yang menganiayai pun kita tak pernah sebut. Rakan-rakan media yang membuat liputan saya tak pernah melihat saya mengutuk mana-mana individu, jangan single out kepada mana-mana kita dalam perkara itu, menjadi pendekatan saya kerana politik ini politik matang untuk tidak menyebut apatah lagi memburukan mana-mana calon.

AHMAD Zahid Hamidi bergambar bersama jentera wanita UMNO menjelang PRU15 pada 19 November ini.

Bagaimana dengan pengundi muda?
Daripada kajian beberapa uni­versiti, mengikut responden yang berstruktur, tahap keseda­ran pengundi muda untuk me­ngundi masih terlalu rendah antara 17 hingga 25 peratus, itu tahap kesedarannya. Atas kesedaran itu apabila pertama kali pengundi muda boleh mengundi dilaksa­nakan dalam PRN Johor, saluran anak muda, sokongan mereka berada pada tahap 87 peratus kepada sokongan pengundi mengundi calon BN. Ertinya kumpulan anak muda sangat pro establishment, mereka meletakkan harapan yang tinggi kepada calon-calon BN. Apabila BN membentang manifesto atau akujanji PRU15, mereka akan meneliti bahawa terhadap beberapa aspek yang ditawarkan untuk anak-anak muda apabila BN menjadi kerajaan semula nanti.

Bagaimana pengundi Cina?
Saya mendapati terdapat ge­lombang baharu sokongan pe­ngundi Cina dan India terhadap BN. Peningkatan ketara dapat dilihat dalam kalangan pengundi India dengan setakat ini kemungkinan berada pada tahap 45 peratus. Perubahan sokongan itu disebabkan pengundi kedua-dua kaum itu telah serik dengan kegagalan pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan dan kemudian 17 bulan di bawah Perikatan Nasional (PN). Saya amat teruja dalam lawatan ke beberapa kawasan Parlimen ditandingi ca­lon BN dan perubahan sikap ini merupakan satu gelombang baharu atas kegagalan dua kerajaan terdahulu selepas PRU-14.

Pembangkang kata tiada pembangunan di Bagan Datuk?
Bagan Datuk merupakan daerah paling bongsu di Perak, iaitu daerah ke-12, pembangunan memang tak banyak sebab dahulu Bagan Datuk terletak di bawah Daerah Hilir Perak. Bagan Datuk hanya dijadikan daerah enam tahun lalu. Dalam keadan itu saya berusaha untuk membawa pembangunan di Bagan Datuk tapi ia telah dibatalkan oleh menteri kewangan ketika itu, jadi kalau orang lain yang menjadi Ahli Parlimen Bagan Datuk, tidak tahu latar belakang suasana dan ke­perluan pembangunan di Bagan Datuk, jadi rakyat mengharapkan agar kesinambungan dilakukan ahli parlimen yang lalu untuk dipilih semula, agar apa juga peranca­ngan yang telah dibuat dan peruntukkan diluluskan tapi dibatalkan dapat kembalikan.

Apakah projek di Bagan Datuk yang dibatalkan?
Sebanyak RM4.3 bilion peruntukan diluluskan tapi apabila PH mengambil alih dan Lim Guan Eng menjadi menteri kewangan, hanya RM900 juta sahaja dilaksanakan, yang lain ditarik balik, dibatalkan dan dikurangkan peruntukannya. Jadi dalam situa­si yang begini, Shamsul Iskandar Mohd. Akin (calon PH Bagan Datuk) patut tanya Guan Eng kerana Guan Eng adalah Setiausaha DAP yang menjadi anggota kepada gabungan PH, beliau patut tanya kenapa mahu balas dendam kepada rakyat Bagan Datuk.

Bagaimana cabaran yang diberikan Shamsul Iskandar yang dikatakan ‘giant killer’?
Shamsul ditolak oleh parti­nya sendiri di Melaka. Beliau kalah dalam pemilihan parti dan beliau tak ada tempat untuk jadi calon kerusi parlimen di mana-mana di Melaka, maka saya mendapat tahu pucuk pimpinan partinya memutuskan sama ada dia mahu di Bagan Datuk atau tidak ada tempat langsung, jadi beliau tak ada pilihan dalam perkara ini dan beliau sendiri pun tak mahu terima pencalonan di Bagan Datuk ini. Kalau beliau sendiri tidak mahu menerima cadangan sebagai calon di sini tentunya orang Bagan Datuk sendiri tidak mene­rima beliau. Kita lihat kebanyakan calon di kawasan selamat bagi partinya itu adalah orang-orang Rafizi Ramli manakala orang-orang Anwar dan orang-orang yang kalah dalam pemilihan parti diletakkan sebagai kawasan tidak selamat untuk politik mereka, jadi mungkin keadaan itu sedang dihadapi oleh beliau.

Adakah undi Melayu akan berpecah dan undi Cina dan India akan jadi penentu di Bagan Datuk?
Yakinlah tidak akan berlaku perpecahah undi Melayu di Bagan Datuk. Cina dan India mereka mempunyai pilihan tetapi mereka adalah pengundi tempatan, mereka mengenali saya secara peribadi, penilaian yang dilakukan mereka adil dan saksama terhadap diri saya.

AHMAD Zahid ketika berucap dalam satu program bersama masyarakat India.

Pembangkang mendakwa ada kerjasama BN dan PH selepas PRU15.
Itu memang menjadi slogan pembangkang dan dalam kempen mereka boleh menyebutkan apa sahaja isu yang mereka fikirkan boleh memenangkan calon-calon mereka, tapi yang penting bagi BN kita harus melepasi jamba­tan sokongan dan cukup jumlah kerusi bagi kita membentuk kerajaan, itu kita berikan keutamaan. BN diserang pelbagai sudut namun terus fokus terhadap hala tuju BN. Serangan di media sosial, itu biasa, mereka menulis apa sahaja biarpun separuh benar.

Tun Mahathir antara yang membuat dakwaan wujud pakatan sedemikian.
Beliau merasakan dirinya se­mua benar, spekulasinya konon­nya benar, beliau melakukan demikian kerana khuatir partinya mengalami kekalahan yang teruk. Ini terbukti apabila partinya meletakkan calon-calon di semua tempat dalam PRN Johor dan semuanya kalah dan hilang deposit. Jadi, beliau tak boleh menganggap popularitinya masih berada di tahap ketika memerintah selama 22 tahun. Kita juga lihat selama 22 bulan apabila menjadi Perdana Menteri kali kedua, beliau telah ditolak oleh partinya sendiri dan ditolak oleh parti-parti gabu­ngan. Tentunya beliau tidak boleh mengharapkan jenama yang mahu dijual apabila parti baru dan gabungan parti barunya itu ditubuhkan dan rakyat mengetahui penolakan terhadap Dr. Mahathir ini bukan hanya berlaku di Langkawi tetapi di seluruh negara.

Bagaimana dakwaan bekerja­sama dengan Anwar Ibrahim?
Kenapa kita perlu bekerjasama hanya dengan dia? Kita juga boleh bekerjasama dengan lain-lain pemimpin parti.

Adakah Datuk Seri akan menjadi Presiden UMNO pertama yang tidak bergelar Perdana Menteri?
Saya bukan Perdana Menteri ketika ini, walaupun saya Presi­den UMNO dan Pengerusi BN, jadi dalam keadaan yang begitu ia telah berjalan selama kita berperdana menterikan salah seorang Naib Presiden UMNO. Jadi perkara itu tidak perlu ditimbulkan kerana proses untuk memilih perdana menteri itu bukan hanya di ta­ngan mana-mana parti politik yang mempunyai gabungan parti-parti yang pelbagai di dalamnya tapi juga kita harus menghormati kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong.

Adakah isu LSC menggugat BN?
Saya telah meminta peguam membuka kertas saman terhadap Raja Petra (Kamaruddin) sebab dalam hasil siasatan oleh PAC dan saya fikir siasatan juga dibuat SPRM, tak ada satu bukti atau saksi yang mengatakan saya pernah menerima satu sen pun daripada projek itu. Saya yang menyelamatkan kerana projek itu terbengkalai di zaman Tun Mahathir, zaman Tun Daim, jadi orang yang menyelamatkan pula dituduh, orang yang kaya raya disebab kegagalan LCS tidak dikenakan tindakan. Itu sebab saya mengambil tindakan saman malu terhadap Raja Petra. Beliau tidak ada di dalam negara, beliau tidak tahu maklumat dalam dan beliau tentu diupah seseorang atau kumpulan. Saya kenal beliau secara peribadi, saya tahu apa pekerjaan beliau dan saya cabar beliau balik kalau berani, jangan bersembunyi di Manchester. Pasport beliau yang telah mati sewaktu saya jadi timbalan perdana menteri, saya yang menghidupkan pasport beliau dan isteri, jadi jangan saya buka aib seseorang, dalam keadaan be­gitu, jangan membuat fitnah mana-mana calon.

Ismail Sabri Yaakob calon tunggal Perdana Menteri BN?
Kita lihat poster beliau dan billboard di mana-mana termasuk di kawasan Bagan Datuk. Itu adalah keputusan parti yang telah diketahui umum tapi hak untuk melantik seseorang Perdana Menteri itu adalah hak Yang di-Pertuan Agong, mengikut Perkara 43 (b) (1) Perlembagaan dan dalam hal ini parti sentiasa menghormati hak mutlak Yang di-Pertuan Agong kerana disebutkan dalam perkara itu bahawa tuanku akan melantik yang pada hemat bagin­da seseorang ahli parlimen yang mempunyai majoriti, siapa pun yang kita mahu ketengahkan, kita harus akur kepada perkara dalam perlembagaan yang mana hak mutlak pelantikan itu adalah A­gong berdasarkan perlembagaan

Bagaimana saingan di Tambun?
Saya lihat kemenangan Peja (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu) dahulu terlalu tipis dan kini Peja sebagai penyandang mahu mempertahankannya dan Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) adalah calon heavyweight. Jadi pertembungan dua calon itu bagi saya akan memberikan kelebihan kepada Amin (calon BN-Datuk Aminuddin Md. Hanafiah) yang merupakan pemimpin tempatan. Apabila gajah sama gajah berlaga tentu ia memberi kelebihan kepada calon BN.

Diserang pelbagai sudut. Apa resepi bersabar?
Mana-mana pemimpin yang dijangka boleh membawa kekuatan kepada parti atau gabungannya, pasti akan diserang. Tentunya pemimpin itu menjadi ‘centre of gravity’. Saya tak mempunyai sebarang resepi tetapi saya mempunyai Allah, apabila saya ber­usaha, saya serah kepada Allah ertinya saya tawakal kepada Allah. Kecekalan saya kerana Allah, kemenangan ini juga Insya-Allah kerana Allah dan tentunya sebarang ujian yang berlaku sebelum ini apa yang saya lalui ini adalah ujian Allah Taala, kalau itu mahu dipanggilan resepi. Keimanan dan ketakwaan menjadi keutamaan kepada saya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya