Berbeza sasaran kerusi, tiada konflik antara Anwar- Rafizi

Berbeza sasaran kerusi, tiada konflik antara Anwar- Rafizi

ANWAR Ibrahim (kiri) bertemu pengusaha limau bali dan petani di Jalan Ampang-Tambun di Ipoh, Perak. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Perbezaan sasaran jumlah kerusi Parlimen yang boleh dimenangi Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) oleh kepimpinan tertinggi PKR tidak menunjukkan terdapat konflik dalam parti itu.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaliknya berkata, perbezaan sasaran antara beliau dan Timbalannya, Rafizi Ramli adalah sebahagian strategi bagi melonjakkan semangat jentera parti untuk bekerja lebih kuat dan meraih kemenangan. 

“Kena tengok dulu konteks ucapan Rafizi, dia kata antara 80 sampai 100 kerusi, (sebab) tidak mahu orang selesa. Dia bincang dengan saya yang dia buat pandangan begitu supaya push orang kita menambah 10 hingga 15 kerusi lagi agar kita dapat majoriti mudah. Dalam hal ini, strategi kita bersama push satu agenda. Orang kita ini kadangkala yakin, bila yakin boleh menang, mereka selesa. 

“Kalau saya sebut 100 kerusi, dia (Rafizi) kata tidak kurang 80 dan 90 kerusi, itu tujuan dia untuk push,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan bersama pengusaha-pengusaha limau bali dan petani-petani di Jalan Ampang-Tambun, di sini hari ini.

Beliau berkata, dakwaan Bendahari Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein kononnya tiada persefahaman antara beliau dan Rafizi berkaitan sasaran kerusi itu dilihat hanya bertujuan melaga-lagakan kan mereka.

Sebaliknya, beliau berkata, UMNO yang sedang berhadapan krisis dalaman apabila terdapat tiga calon Perdana Menteri daripada parti itu.

“Ini sudah lagakan Anwar dengan Rafizi, dia ingat ini UMNO? UMNO calon Perdana Menteri belum tentu lagi, sekarang sudah ada tiga calon. Mula-mula Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan sekarang, Khairy Jamaluddin. Khairy dia calonkan diri sendiri.

“Kita tidak begitu, soal pimpinan, soal calon Perdana Menteri adalah konsensus. Bagaimanapun, apabila Rafizi kemukakan berdasarkan tinjauan dan pandangan dia, kita kena ambil kira,” katanya.

Hishammuddin sebelum ini mendakwa Rafizi dan Anwar tiada persefahaman apabila wujud perbezaan jangkaan antara kedua-dua ahli politik tersebut berhubung jumlah kerusi yang boleh dimenangi PH pada PRU15.

Bagaimanapun, dakwaan calon Parlimen Sembrong itu dinafikan Rafizi. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya