Berang ditegur, enam lelaki Myanmar didakwa pukul dua beranak

Berang ditegur, enam lelaki Myanmar didakwa pukul dua beranak

KESEMUA enam lelaki warga Myanmar didakwa di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan memukul dua beranak warga tempatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Padah memukul dua beranak warga tempatan sehingga salah seorang daripadanya koma, enam lelaki warga Myanmar berdepan hukuman penjara 40 tahun selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, dengan dua pertuduhan.

Ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Kyaw Swar Tun, 21; Nyt Lin Paing, 22; Zin Min Htet, 23; Win Zaw, 30; Aung Myint Thein, 31, dan Mya Boe, 33, susulan kesemua mereka tidak memahami bahasa Melayu.

Hakim Darmafikri Abu Adam menetapkan tarikh baharu pada 21 Disember 2022 bagi membolehkan pertuduhan dibacakan semula dalam bahasa Myanmar.

Berdasarkan kertas pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh secara bersama-sama telah menyebabkan kecederaan parah ke atas M.K. Daniel, 19, dan bapa mangsa, E. Murali Kuppusami, 50, dengan menggunakan objek kayu iaitu suatu alat yang mungkin menyebabkan kematian. 

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 10.40 malam di Pangsapuri Taman Tasek Utama dalam daerah Melaka Tengah pada 31 Oktober 2022. 

Difahamkan E. Murali kini berada dalam keadaan koma di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala. 

Dua beranak itu dikatakan dibelasah teruk selepas menegur kesemua tertuduh agar tidak membuat bising di pangsapuri itu.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan hendaklah dikenakan denda atau sebat bagi setiap pertuduhan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim memohon supaya jaminan tidak diberikan kepada kesemua tertuduh, dengan mengambil kira kesalahan dilakukan adalah serius. 

Mahkamah bersetuju dengan permohonan pendakwaan dan menetapkan 21 Disember depan sebagai sebutan semula kes dalam bahasa Myanmar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya