KUALA TERENGGANU: Seorang bekas pembantu guru muzik berdepan hukuman penjara dan sebat selepas didakwa atas tiga pertuduhan amang seksual terhadap pelajar perempuannya, empat tahun lalu.
Tertuduh, Mohd. Anuar Wahab, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Berdasarkan pertuduhan, Mohd. Anuar didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap murid perempuannya yang ketika kejadian berusia sembilan tahun.
Kesalahan itu dilakukan tertuduh di dua lokasi berasingan iaitu di sebuah sekolah dan di tepi jalan di daerah Kuala Nerus antara pukul 1 hingga 2 petang pada 2018.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 14(a) dan 14(d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebat bagi setiap pertuduhan.
Mahkamah kemudian menetapkan 22 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan iaitu perlu melaporkan diri ke balai polis berhampiran serta tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi sepanjang prosiding berlangsung.
Kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – UTUSAN