Bekas Ketua Pengarang The Edge Comunication bebas tuduhan memfitnah - Utusan Malaysia

Bekas Ketua Pengarang The Edge Comunication bebas tuduhan memfitnah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mahkamah Majistret di sini hari ini melepas dan membebaskan bekas Ketua Pengarang The Edge Communications Sdn. Bhd. daripada pertuduhan memfitnah menerusi penyiaran artikel dalam The Edge Malaysia.

Majistret Zhafran Rahim Hamzah membebaskan Ahmad Azam Mohd Aris, 61, selepas pihak pendakwaan menarik balik kes terhadapnya.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Maryam Jamilah Md. Kamal memaklumkan, pihak pendakwaan mendapat arahan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menarik balik kes tersebut.

Jelas beliau, tertuduh telah mengemukakan representasi kepada AGC melalui surat bertarikh 28 September lalu.

“Oleh itu saya memohon supaya tertuduh dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada pertuduhan ini,” katanya semasa sebutan kes.

Sementara itu, peguam Rajsurian Pillai yang mewakili Ahmad Azam memohon supaya anak guamnya dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan itu.

Peguam berhujah, tiada alasan diberikan mengapa kes itu ditarik balik dan sekiranya kes itu DNAA, pertuduhan terhadap anak guamnya akan tergantung tanpa had masa.

Ahmad Azam didakwa memfitnah Datuk Kua Khai Shyuan, 38, dan Syarikat DGB Asia Berhad dengan menyiarkan satu artikel dalam The Edge Malaysia Bilangan 1337 bertarikh 21 September hingga 27 September 2020, yang mana tuduhan tersebut akan merosakkan reputasi individu itu dan syarikat berkenaan.

Sementara itu, di hadapan Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapa, Ahmad Azam dilepas tanpa dibebaskan daripada satu lagi pertuduhan iaitu memfitnah Khai Shyuan dan syarikat DGB Asia, Trive Property Group Berhad, Metronic Global Berhad dan MNC Wireless Berhad.

Perbuatan fitnah itu dilakukan dengan menyiarkan satu artikel dalam The Edge Malaysia Bilangan 1365 bertarikh 12 April hingga 18 April 2021 yang mana tuduhan tersebut akan merosakkan reputasi individu itu dan keempat-empat syarikat berkenaan.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di The Edge Communications Sdn. Bhd., Level 3, Menara KLK, Mutiara Damansara, di sini pada 21 September 2020 dan 12 April 2021.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang berdepan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, TPR Farhanah Fuad Mohamad Faiz berkata pihak pendakwaan turut mendapat arahan daripada AGC untuk menarik balik kes itu dan memohon supaya tertuduh dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan tersebut.

Rajsurian yang dibantu seorang lagi peguam mewakili tertuduh Allyna Ng, memohon agar anak guamnya dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan itu atas alasan yang sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya