Banana Que Semporna snek popular macam di Filipina

Banana Que Semporna snek popular macam di Filipina

PISANG bakar asli dan popis
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANDA sebenarnya tidak perlu mengembara jauh ke Manila atau mana-mana kepulauan di Filipina untuk menikmati snek paling popular dari republik itu iaitu banana que atau pisang bakar.

Anda hanya perlu membelanjakan sedikit kos penerbangan ke Sabah atau jika kebetulan bercuti ke negeri ini, anda boleh rasai sendiri perasaan seolah-olah berada di Filipina, sambil menikmati banana que yang mudah didapati.

Salah satu gerai menjual makanan ringan ini adalah di Banana Que Semporna, yang menyediakan aneka juadah berasaskan pisang dengan harga berpatutan, malah dijamin sedap!

Banana que secara tradisinya dibuat dengan pisang separuh masak dibakar atau digoreng kosong dan disalut dengan karamel atau gula perang. Biasanya, jenis pisang yang digunakan ialah pisang nipah atau pisang Saba.

Harus diingat, untuk mendapatkan tekstur banana que yang sempurna, anda mesti mendapatkan pisang yang sedikit mentah dan tidak kekuningan.

Saya berpeluang mengunjungi gerai yang terletak di pasar malam Wins Garden, Semporna dan ternyata, ia tidak kurang hebatnya seperti saya berada di Filipina, beberapa tahun lalu. Beroperasi bermula pukul 6 petang hingga 11 malam setiap hari, saya dihidangkan pisang bakar asli yang dicampur marjerin dan gula halus. Menu ini dijual pada harga RM10 sebanyak tujuh cucuk pisang.

Ini adalah menu utama dan pilihan kebanyakan pelanggan, malah kuantiti gula juga boleh dikurangkan mengikut permintaan khusus bagi mereka yang mengawal gula dalam pemakanan. Pun begitu, kemanisan rasa pada pisang bakar asli ini diseimbangkan dengan rasa sedikit masin marjerin, lalu menghasilkan rasa lemak manis dan sempurna.

Kenikmatan dimiliki banana que ini tidak berakhir setakat di situ sahaja, pisang bakar juga mempunyai set perasa yang pelbagai berharga RM10 untuk empat cucuk pisang, manakala kombo asli ditambah keju berharga RM12 untuk lima cucuk pisang.

————————————————–

Banana Que Semporna

Lokasi: Pasar malam
Wins Garden, Semporna
Waktu operasi: 6 petang
hingga 11 malam
Makanan popular: Banana que, popis dan sanggar pappek

———————————————————————–

Anda juga mempunyai banyak pilihan hiasan atau toping untuk diletakkan di atas pisang bakar seperti biscoff, keju, strawberi, scrumbs, mentega kacang, oreo, milo dan nestum yang berharga RM2 setiap satu hiasan. Milo dan nestum adalah kegemaran saya.

Pengasas Banana Que Semporna, Siti Supinah Sulaiman, 30, berkata, konsep juadah diniagakan yang mengambil inspirasi dari padaFilipina kerana ramai dalam kalangan warga negara itu bermigrasi dan berkahwin dengan warga Malaysia di Sabah, sekali gus mencetus proses asimilasi budaya.

“Maka, makanan di Filipina juga dijual di sini. Memandangkan menu ini sudah lama wujud manakala tekak penduduk sudah terbiasa menerimanya, sudah pasti akan tercari-cari makanan yang dianggap nostalgia ini,” katanya.

POPIS

Selain banana que, saya berpeluang merasai menu tambahan, popis, iaitu isi pisang dibalut kulit popia, kemudian digoreng dan dihias pelbagai toping mengikut selera dan pilihan pelanggan.

Jika di Semenanjung Malaysia, popis ibarat popia sira sambal manis yang boleh didapati di bazar Ramadan atau pasar malam. Tetapi, popis adalah berintikan pisang dengan kerangupan kulit popia yang mempunyai rasa unik. Tiada lebihan minyak yang ‘bertakung’ atau ‘melekat’ pada kulit popia ya, jadi, saya jamin anda tidak akan muak ketika menikmatinya.

Harganya juga cukup ekonomi dan mesra pelanggan bermula dari RM7 hingga RM40 mengikut pakej dan kuantiti yang ditetapkan.

SANGGAR PAPPEK

Belum sempat saya kenyang menikmati setiap jenis hidangan di gerai ini, saya disajikan satu lagi juadah istimewa iaitu pisang pappek (e taling: é) atau pisang lenyek, satu makanan tradisi suku kaum Bugis. Makanan ini banyak dijual di Tawau dan Kunak, Sabah.

Sanggar pappek adalah pisang yang dilenyek tetapi tidak hancur dan digoreng di dalam minyak panas. Berharga RM7 (lima keping) dan RM10 (lapan keping) untuk satu set pisang, makanan ini sedap dicecah sambal tumis tomato yang pedas dan manis.

Ada juga yang gemar mencecahnya dengan sambal kicap. Jangan lepaskan peluang ini, mari berkunjung ke Banana Que Semporna. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×