Jangan buat spekulasi kejadian samun, pukul Akhyar - polis - Utusan Malaysia

Jangan buat spekulasi kejadian samun, pukul Akhyar – polis

AKHYAR Rashid mengalami kecederaan selepas menjadi mangsa samun di Kuala Terengganu, Khamis lalu. - MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Orang ramai diminta tidak membuat spekulasi berhubung kejadian samun dan pukul membabitkan pemain bola sepak Terengganu FC (TFC), Akhyar Rashid, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, siasatan kini lebih menjurus kepada kejadian samun di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan (KK).

Menurut beliau, dua orang saksi iaitu pengadu yang merupakan kakak mangsa dan seorang penghantar makanan e-hailing telah dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Jelas Azli lagi, pihak polis juga tidak menolak kemungkinan lebih daripada dua orang suspek terlibat dalam kejadian di pekarangan sebuah apartment kira-kira pukul 8.30 malam itu.

“Pihak polis telah merakam keterangan lanjut daripada mangsa, semalam, dan menurut mangsa, suspek dipercayai menaiki kereta Honda City tetapi tidak dapat mengecam warna dan nombor pendaftaran.

“Hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian juga tidak menemukan kenderaan suspek jadi agak sukar untuk pihak polis mengesan dan mengenalpasti dalang yang terlibat.

“Siasatan masih diteruskan dan orang ramai diminta tidak membuat spekulasi berhubung penglibatan mangsa dalam kes ini atau motif kejadian,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Dalam pada itu Azli memberitahu, pihaknya telah menggerakkan unit daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) bagi mengesan suspek.

Beliau berkata, rondaan turut ditingkatkan di kediaman didiami mangsa serta kawasan yang disyaki dilalui suspek.

“Ketika kejadian, tiada percakapan seperti ugutan sebaliknya mangsa terus dipukul dan disamun, jadi kita tidak dapat mengesan loghat digunakan tetapi siasatan akan diteruskan,” katanya.

Dalam kejadian Khamis lalu, Akhyar yang baru turun dari kenderaannya dipukul dan disamun lelaki tidak dikenali bersenjatakan besi boleh laras sehingga mengalami enam jahitan di bahagian kepala dan kaki.

Pemain Harimau Malaya itu mengalami kerugian RM4,800 setelah beg tangan dan beg duitnya dilarikan manakala telefon bimbitnya ditemui semula tidak jauh dari tempat kejadian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya