Bantuan AIM bolehkan Haddrien jana RM5,000 sebulan

Bantuan AIM bolehkan Haddrien jana RM5,000 sebulan

HADDRIEN Atay bersama rantai tradisional kaum Bidayuh dan Orang Ulu yang dihasilkannya di Bau, Sarawak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Pembiayaan modal sebanyak RM3,000 daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Cawangan Bau mengubah Haddrien Atay menjadi seorang usahawan produk kraftangan manik yang berjaya.

Wanita berusia 44 tahun dari Kampung Jagoi Pinomu di Daerah Bau, Sarawak itu kini mampu meraih pendapatan sehingga RM5,000 sebulan.

Menurut ibu kepada tiga anak itu, semasa mula-mula menceburkan diri dalam perusahaan kraf manik pada tujuh tahun lalu, dia mengalami masalah dari segi kewangan.

Namun ‘perkenalan’ dengan AIM telah mengubah pintu rezekinya apabila modal yang diperoleh digunakan dengan sebaiknya untuk mengembangkan perusahaan.

“Saya dapat tahu mengenai AIM daripada seorang rakan dan terus pergi ke AIM Cawangan Bau untuk memohon pembiayaan modal.

“Berbekalkan modal daripada AIM itu, saya dapat sampai ke tahap sekarang dan mampu berjalan sendiri,” katanya ketika ditemu-bual.

Bagaimanapun, Haddrien berkata perjalanannya untuk bangkit dalam industri berkenaan bukanlah mudah kerana perlu bersaing dengan begitu ramai usahawan produk kraf manik.

Katanya terlalu banyak cabaran dan dugaan yang perlu ditempuh namun hanya kesabaran sahaja yang dapat memberi kekuatan kepadanya untuk meneruskan karier sebagai pengusaan produk kraf manik.

“Terlalu banyak saingan, saya terpaksa berusaha membuat yang terbaik kerana sekarang usahawan manik begitu ramai bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.

“Namun saya terus berusaha membuat yang terbaik dengan memajukan produk supaya ia tidak ketinggalan zaman, berkualiti dan cantik,” katanya.

Menurut Haddrien, produk yang dihasilkannya iaitu aksesori untuk wanita dan lelaki seperti rantai tradisional kaum Bidayuh dan Orang Ulu serta gelang tangan bukan sahaja mendapat tempahan daripada rakan-rakan tetapi juga dijadikan sebagai cenderahati untuk VIP.

Malah ia juga mendapat tempahan daripada individu yang ingin menjadi ejen jualan bagi produknya itu.

“Selain mendapat tempahan secara langsung, saya juga memasar dan mempromosikan produk melalui media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok, termasuk menyertai pameran-pameran kraf yang dianjurkan oleh pelbagai pihak,” katanya.

Menarik mengenai produk Haddrien, manik-manik yang digunakannya adalah dihasilkan sendiri menggunakan bahan seperti loom, seramik, polimer clay dan epoxy resin.

Justeru, beliau amat berterima kasih kepada AIM kerana telah membantu usahawan kecil sepertinya untuk terus bangun dan maju.

“Saya sekarang sudah boleh berbangga dengan diri dan tanpa sokongan AIM, saya tidak akan sampai ke tahap sekarang,” katanya.

Bagi yang berminat untuk mendapatkan produk dan tempahan boleh menghubungi Haddrien di talian 011-1403 3450 atau layari Facebook Lynn Rynns. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya