KEMAMAN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai pelan tindakan alternatif termasuk menangguhkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekiranya berlaku banjir besar menjelang hari mengundi pada 19 November ini.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, sebarang keputusan berkaitan proses pengundian pada PRU15 tertakluk kepada bidang kuasa SPR.
Menurutnya, orang ramai tidak perlu bimbang sekiranya berlaku banjir dalam tempoh tersebut kerana segala tindakan dalam perancangan SPR dan pihak berkuasa.
“Kalau banjir berlaku sekalipun, sudah tentu SPR mempunyai langkah tertentu dan banyak alternatif lain yang boleh dilakukan.
“Mungkin boleh ditangguhkan (hari mengundi), dibuat pada hari lain. Tidak perlu jadikan isu. Kalau hendak jadikan isu, kenapa masuk bertanding. Kalau betul, tidak perlu bertanding Parlimen, sebaliknya boikot,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyantuni peniaga di Pasar Tani Kekal di Kampung Dusun Nyiur, di sini hari ini.
Ahmad yang juga calon Parlimen Kemaman berkata, BN juga bersedia mengerah jentera parti untuk turun padang membantu penduduk yang terlibat dengan banjir berpindah di pusat pemindahan sementara berdekatan.
“Banjir bukan perkara baharu di negeri ini. Malah, pelan pengurusan bencana yang dipraktikkan di daerah Kemaman ketika BN memerintah adalah prosedur operasi standard yang terbaik hingga mendapat pujian dari dalam dan luar negara.
“Kita mempunyai skuad khas yang terdiri daripada ahli Pemuda dan Puteri UMNO yang akan membantu masa banjir,” katanya. – UTUSAN