Ban pecah Kampung Seri Tanjung: 60 mangsa terjejas

Ban pecah Kampung Seri Tanjung: 60 mangsa terjejas

KEADAAN ban pecah menyebabkan air melimpahi tebing dan memasuki kediaman penduduk di Kampung Seri Tanjung, Dengkil, Selangor. - UTUSAN/MOHD HUSNI MOHD NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DENGKIL: Lebih 60 penduduk di Kampung Seri Tanjung di sini terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) susulan insiden ban pecah di tali air, awal pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 6 pagi itu, paras air meningkat dengan cepat menyebabkan ban berkenaan pecah sebelum air melimpahi tebing dan memasuki kediaman penduduk.

Ketua Zon 5 Selangor Selatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Muhammad Faisal Zainal Abidin berkata, kesemua mangsa banjir kini ditempatkan di Dewan Orang Ramai Dengkil.

Beliau berkata, buat masa ini, pihaknya masih memantau insiden ini terutama di jajaran Sungai Langat yang mana limpahan air dari Hulu Langat akan turun ke daerah ini.

“Buat masa ini, dua PPS dibuka di daerah ini masing-masing di Dewan Orang Ramai Dengkil dan Taman Gemilang.

“Kami masih memantau situasi ini dari semasa ke semasa dengan tiga buah balai bomba iaitu Balai Bomba dan Penyelamat Sepang, Dengkil dan Cyberjaya diarah bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan.

“Pemantauan dilakukan sejak pukul 5 pagi tadi dan 40 anggota serta pelbagai aset dan jentera turut dikerahkan bagi memantau kejadian banjir di daerah ini khususnya di Dengkil,” katanya ketika ditemui selepas meninjau Kampung Seri Tanjung di sini, pagi ini.

Katanya, pihaknya melihat trend air semakin surut jika tiada hujan dalam masa 24 jam, namun banjir lebih teruk boleh berlaku jika ada hujan dalam masa terdekat.

Sementara itu, penduduk setempat, Mohd Fairuz Ismail, 47, berkata, dia percaya ban berkenaan boleh pecah disebabkan strukturnya yang tidak kuat kerana ia sekadar ditambak tanah.

Katanya, dia hairan kenapa banjir tetap berlaku sedangkan pelbagai kaedah dilakukan terutama mendalamkan dasar tali air dan meninggikan tebing.

“Saya sudah menetap di sini 10 tahun lalu dan berdepan dengan banjir tiga kali setahun. Jika isu ban ini tidak ditangani segera, air mungkin melimpahi rumah saya setiap kali hujan.

“Saya sudah membuat banyak aduan kepada pihak berwajib, namun tiada tindakan konkrit dijalankan bagi mengukuhkan ban berkenaan,” katanya.

ANGGOTA bomba membuat rondaan keadaan banjir di Kampung Cemperai Dengkil, Selangor. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA

Sementara itu, calon Pejuang P113 Sepang, Datin Padukan Che Asmah Ibrahim turut berkesempatan melawat insiden ban pecah itu pagi tadi termasuk menyantuni mangsa banjir di PPS.

Katanya, beliau mahu pihak berwajib memikirkan jalan penyelesaian terbaik bagi mengatasi isu banjir di kawasan itu.

“Isu ban pecah disebabkan banjir langsung tidak boleh diterima. Kenapa ban ini pecah berkali-kali, buat balik dan pecah balik. Ia umpama buat kerja seperti ‘pak pandir’, buat kerja yang sama tetapi mengharapkan hasil berbeza,” katanya. – UTUSAN

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.