SEREMBAN: Kedudukan pekan Nilai yang lebih rendah berbanding di kawasan sekitarnya dikenal pasti antara punca utama berlakunya banjir kilat di sekitar kawasan tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J.Arul Kumar berkata, keadaan itu ditambah dengan pembangunan pesat di kawasan Bandar Baru Nilai yang berada di kawasan lebih tinggi.
Menurutnya, aliran air dari kawasan perumahan dan industri di kawasan tinggi itu akan turun ke pekan Nilai sebelum mengalir ke Sungai Batang Labu.
“Dulu keadaan ini tidak berlaku kerana kawasan Bandar Baru Nilai belum dibangunkan. Sekarang terdapat kawasan perumahan dan industri menyebabkan aliran air dari kawasan tinggi akan turun ke pekan Nilai yang berada di kawasan rendah.
“Selain itu, pertembungan tiga sungai iaitu Sungai Cekar, Sungai Batang Labu dan Sungai Batang Nilai di pekan Nilai juga menyebabkan air mudah melimpah keluar ketika hujan lebat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perjumpaan Menteri Pengangkutan Bersama Pemimpin Masyarakat dan Majlis Berbuka Puasa di Sikamat, Seremban malam semalam.
Arul Kumar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai berkata antara langkah penyelesaian yang sedang dilaksanakan adalah menaik taraf kolam tadahan di Taman Desa Jasmin yang dibina 30 tahun lalu dengan kos lebih RM3 juta.
Beliau berkata, kolam tadahan tersebut sebelum ini mampu menampung aliran air hujan, namun kapasiti sedia tidak lagi mencukupi susulan peningkatan pembangunan dan perubahan cuaca.
“Kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan bagi menaik taraf kolam tadahan tersebut dan tender projek telah ditutup pada 16 Februari lalu.
“Proses penilaian kontraktor sedang dijalankan dan dijangka surat setuju terima akan dikeluarkan kepada kontraktor yang dilantik pada hujung April depan sebelum kerja-kerja menaik taraf dimulakan,” katanya.
Tambahnya, projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Batang Labu juga telah diluluskan bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan berkenaan.
Dalam pada itu, Arul Kumar berkata, pembetung kecil di dua laluan masuk ke Taman Semarak turut dikenal pasti sebagai antara punca aliran air terganggu sehingga menyebabkan air melimpah ke jalan setiap kali hujan lebat. – UTUSAN










