‘Baling batu sembunyi tangan’ guna khidmat penulis blog serang UMNO - Utusan Malaysia

‘Baling batu sembunyi tangan’ guna khidmat penulis blog serang UMNO

pru15
AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menemplak pihak lawan kerana bersikap ‘baling batu sembunyi tangan’ apabila melakukan serangan peribadi ke atas dirinya dengan menggunakan khidmat seorang penulis blog tinggal di luar negara, United Kingdom (UK).

Menurut Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, penulis blog tersebut bukan sahaja dilihat tidak mempunyai kredibiliti, tetapi tidak berani balik Malaysia untuk berdepan undang-undang negara ini.

Hal ini katanya, kerana pihak lawan sudah ketandusan isu apabila lebih cenderung membuat serangan peribadi berbanding berbincang tawaran dan pencapaian di samping manifesto tidak berani mereka dijadikan naratif utama kerana banyak kelemahan dan tidak realistik dilaksanakan.

Sehubungan itu kata Ahmad Zahid, terdapat pihak lawan menggunakan isu perbicaraan mahkamah dihadapinya sebagai bahan kempen pilihan raya walaupun sebahagian besar sudah didapati tidak bersalah dan merupakan perbicaraan terpilih hasil legasi kerajaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Maka mereka menyerang Pengerusi BN dan Presiden UMNO. Ada baling batu sembunyi tangan. Ada guna blogger pelarian tiada kredibiliti dari UK untuk menyerang walaupun blogger pelarian ini tidak berani balik Malaysia berdepan undang-undang Malaysia.

“Saya berani berdepan dan menghadapi mahkamah kerana saya tahu saya tidak bersalah dan saya dikenakan hanya kerana tidak mahu membubarkan UMNO dan menyertai parti Bersatu Mahathir ketika itu.

“Ketika itu ramai pemimpin BN menikus sampai melompat parti dan khianat serta bernada seperti Atok (Dr. Mahathir). Akan tetapi saya tetap tegak mempertahan UMNO daripada dibubarkan,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.

Sebelum ini, Ahmad Zahid berkata akan mengambil tindakan undang-undang terhadap blogger berkenaan kerana menuduhnya menerima sogokan mencecah jumlah jutaan ringgit berkait projek kapal tempur pesisir (LCS).

Dalam pada itu, Ahmad Zahid hairan dengan pihak tertentu menggunakan isu kes mahkamah terhadap dirinya sahaja, tidak pula bersikap sama terhadap Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Katanya, sikap pilih bulu itu tidak lain dan bukan kerana mereka tahu strategi dan kepimpinannya boleh memberikan kemenangan besar kepada BN pada pilihan raya ini.

“Sebaliknya saya sahaja dijadikan punch bag mereka. Ada segelintir dalam UMNO terpengaruh. Semoga segelintir ini cepat sedar dan munasabah diri,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, pihak lawan kini semakin resah dan takut dengan bayang-bayang mereka sendiri dan mereka bimbang nasib dan masa depan politik. 

“Saya tahu ketegasan dalam mengetuai membuat keputusan dan menentukan hala tuju BN yang lebih berstrategi menambahkan lagi ketakutan dan mimpi ngeri musuh politik BN. Sedarlah bahawa setiap usaha untuk melemahkan BN dari dalam dan luar, akan menjadikan BN menjadi lebih cerdas, kuat, tegas dan bersepadu. Insya-Allah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya