PETALING JAYA: Biarpun diuji dengan pelbagai dugaan dan kritikan, ibu tunggal Azimah Abd. Rahim, 37, tidak pernah berputus asa malah bertekad untuk bangkit membesarkan anaknya, Nur Ainul Zahirah Rashidi, 6, yang merupakan orang kurang upaya (OKU).
Bagi Azimah, jika mempunyai peluang, dia berhasrat memiliki rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) supaya dapat membesarkan Nur Ainul Zahirah dengan tempat tinggal lebih selesa berbanding rumah yang diduduki sekarang.
“Saya banyak kali membuat permohonan mendapatkan rumah PPR tetapi sehingga kini tiada sebarang maklum balas. Ada juga individu tampil mahu membantu tetapi kemudiaannya diam begitu sahaja,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia kelmarin.
Turut sama dalam sesi temu bual bersama Utusan Malaysia ialah pendakwah bebas, Ebit Lew Abdullah yang menghulurkan sumbangan kepada Azimah.
Ebit turut menghadiahkan Azizat sebuah kereta Perodua Viva Azimah bagi memudahkan urusannya.
Terdahulu, gambar memaparkan Azimah mendukung anaknya, Nur Ainul Zahirah, 6, sambil menunggang motosikal ketika bekerja menghantar pesanan makanan yang disiarkan di muka depan akhbar ini tular di dalam media sosial sehingga mendapat perhatian ramai.
Azimah memberitahu Utusan Malaysia, suka atau tidak, dia tiada lagi pilihan yang boleh diambil apabila terpaksa membawa anaknya ke mana-mana sahaja sepanjang bertugas sebagai penghantar makanan.
Kata Azimah, sekiranya memiliki rumah berkenaan, sudah pasti dia ingin mencuba nasib menjalankan perniagaan dalam talian dengan menjual produk ‘sejuk beku’ untuk menambah pendapatan hariannya.
“Setiap hari saya berfikir, sampai bila mahu membawa anak saya bersama untuk menghantar pesanan. Jadi, jika ada rumah yang selesa, boleh saya cari peti sejuk beku untuk saya letak produk frozen dan mulakan perniagaan kecil-kecilan dari rumah,” ujarnya.
Ditanya mengenai hadiah kereta berkenaan, kata Azimah, dia berhasrat menggunakan kereta berjenama Perodua Viva itu sebagai kenderaan e-hailing.
“Pemberian Ustaz Ebit tu memang niat saya nak menggunakan ia sebagai kenderaan untuk membuat Grab ataupun Lalamove. Saya memang sudah ada lesen kereta, jadi memang ada niat bekerja sebagai pemandu e-hailing,” jelasnya.
Sementara itu, Azimah berkata, dia bersyukur bantuan tidak putus-putus diberikan oleh orang ramai yang prihatin terhadap keadaanya.
“Saya terima banyak sumbangan daripada porang ramai dan ada hamba Allah yang pos barangan keperluan ke rumah seperti baju, mainan anak dan lain-lain,” katanya.
Waniat itu menasihatkan semua ibu tunggal atau yang senasib dengannya supaya terus cekal menghadapi kehidupan.
“Jangan menyerah walaupun kita mempunyai anak istimewa, ramai atau kehidupan susah ke. Jangan putus asa, selagi Allah beri rezeki kita terima dan pedulikan apa orang mahu kata. Jangan down, hidup demi anak,” katanya. – UTUSAN










