Antara kuasa mutlak, kebijaksanaan Agong lantik PM

Antara kuasa mutlak, kebijaksanaan Agong lantik PM

PELANTIKAN Perdana Menteri iaitu seorang ahli Dewan Rakyat yang pada pertimbangan Seri Paduka Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong akan menggunakan kebijaksanaan bersandarkan panduan Perlembagaan Persekutuan dan amalan tradisi untuk menentukan seorang Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dalam menyanjungi kuasa mutlak Seri Paduka Baginda. 

Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan, Dr. Iskandar Hasan Tan Abdullah berkata, Perlembagaan Persekutuan adalah jelas berhubung pelantikan Perdana Menteri iaitu seorang ahli Dewan Rakyat yang pada pertimbangan Seri Paduka Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu.

Beliau berkata, begitupun, dalam keadaan di mana sesuatu gabungan parti politik mempunyai majoriti yang jelas dengan mempunyai sekurang-kurangnya 112 kerusi, soal pertimbangan Yang di-Pertuan Agong mengenai siapa yang mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu tidak pernah berbangkit.

“Dari sudut sejarah politik pilihan raya di Malaysia, tidak ada mana-mana Yang di-Pertuan Agong yang pernah menolak mana-mana satu nama calon Perdana Menteri dikemukakan oleh pemenang bermula dari PRU1 hingga ke PRU14 yang lalu.

“Lazimnya setiap gabungan parti-parti politik sudah menetapkan satu nama calon Perdana Menteri sebelum memasuki mana-mana PRU dan bila PRU ini selesai dan gabungan ini keluar sebagai pemenang, maka nama tunggal inilah yang dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Presiden UMNO dan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi  bahawa beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menentukan seorang Perdana Menteri sekiranya BN menang pada PRU15 Sabtu ini.

Menurut Iskandar Hasan, kuasa Yang di-Pertuan Agong selalunya hanya akan berbangkit dalam keadaan di mana tiada gabungan parti politik mempunyai majoriti yang jelas seperti keadaan yang berlaku selepas Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan dahulu.

Dalam konteks UMNO, kata beliau, calon Perdana Menteri sudah dipersetujui menerusi mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT), sokongan 156 UMNO Bahagian serta perakuan daripada Dewan Tertinggi Barisan Nasional  bersetuju menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri tunggal UMNO-BN.

Maka, katanya, tiada jalan untuk pemimpin lain dilantik sebagai Perdana Menteri jika BN menang dalam PRU15.

“Jika ada nama lain dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong, maka pastilah ini berada di luar dari kebiasaan dan boleh menimbulkan huru-hara serta ketidakstabilan sekali lagi dalam politik negara di mana ini tentulah sukar untuk diterima,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pusat Kecemerlangan Komunikasi, Media dan Industri Kreatif, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Syed Agil Alsagoff pula berkata, kempen lawan UMNO-BN bahawa satu undi untuk UMNO-BN adalah satu undi untuk menobatkan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi adalah tidak benar.

Kata beliau, kempen ini seolah-olah pihak lawan tidak mempunyai modal untuk menyerang Ismail Sabri yang dipercayai mereka sebelum ini sama ada turut berada di dalam kerajaan pimpinan Ismail Sabri atau menandatangani perjanjian persefahaman untuk menyokong kerajaan pimpinan Ismail Sabri.

“Disebabkan itu, mereka mengalih tumpuan dengan mengulang-ulang dakwaan bahawa jika UMNO-BN menang dalam PRU15, maka yang akan menjadi Perdana Menteri adalah Ahmad Zahid dan bukannya Ismail Sabri untuk mencemarkan imej UMNO-BN di mata rakyat.

“Kita perlu ingat bahawa UMNO-BN sudah sebulat suara bersetuju bahawa Ismail Sabri adalah calon Perdana Menteri tunggal UMNO-BN, maka sebarang perubahan tidak boleh dibuat sesuka hati melainkan perlu mendapat persetujuan semua peringkat parti terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata, jika pun ada nama lain yang dicalonkan, maka adalah amat tipis untuk Yang di-Pertuan Agong menerimanya apatah lagi jika nama yang dicalonkan itu mempunyai kes mahkamah kerana ini pastinya menyebabkan nama baik negara terjejas di mata dunia.

 “Yang di-Pertuan Agong dalam sumpah jawatan menyebut dengan lafaz Wallahi, Wabillahi, Watallahi mengaku akan taat setia pada menjalankan dengan adilnya pemerintahan bagi Malaysia dengan mengikut sebagaimana undang-undang dan Perlembagaan.

“Sepanjang pemerintahan Yang di-Pertuan Agong, Seri Paduka menunjukkan tahap kebijaksanaan yang amat tinggi yang membuatkan Seri Paduka dihormati seluruh rakyat jelata, jadi kita yakin Seri Paduka tidak akan membuat keputusan yang silap,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.