DALAM risalah diedarkan cuma dinyatakan Jelajah Prihatin 2022 namun situasi berbeza apabila Jentera Pilihan Raya Umum (PRU) Perikatan Nasional (PN) Parlimen Sepang dilancarkan.
Keadaan ini bukan sahaja mengecewakan penduduk daerah tersebut malah suasana bendera PN yang meriah dipacak di Dataran Sadiman, Bukit Changgang itu lebih kepada acara politik.
Maka tidak hairan ada kalangan pengunjung agak terpinga-pinga apabila mendapati program bertemakan konon prihatin itu tidak ubah seperti aktiviti kempen kepartian menjelang PRU15.
Padahnya, meskipun blok siasah itu menampilkan ramai ‘otai’ hebat termasuk Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, sambutan daripada warga Sepang sendiri tetap hambar.
Natijahnya dapat dilihat apabila Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pun sedar sehingga terpaksa merayu hadirin menepuk tangan ketika beliau berucap menceritakan ‘kejayaannya.’
Gaya ucapannya yang masih dibayangi stail ketika menjadi Perdana Menteri kelapan selama 17 bulan lalu dilihat lebih bersifat retorik.
Tidak hairanlah, puluhan kerusi di belakang khemah besar untuk program itu kosong apabila ramai bertindak balik awal atau pun memilih melepak di beberapa kedai makan bersebelahan.
Malah ramai yang hadir ke program itu sibuk mengambil sekampit beras dan sebotol minyak masak percuma di sebelah khemah.
Keadaan juga ibarat pesta apabila sebilangan besar jenteranya sendiri lebih ‘peduli’ acara agihan bendera PN di pejabat parti itu di belakang khemah daripada tekun mendengar ucapan Muhyiddin.
Apa yang pasti, PN seperti tidak belajar pengalaman ketika Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor, seolah-olah macam sudah meraikan kemenangan PRU15.
Ironinya, Muhyiddin sejurus tamat program itu hampir 12 tengah malam enggan pula ditemu ramah ramai pemberita termasuk dari media asing yang sabar menunggu berjam-jam lamanya.
Sebaliknya pengamal media hanya mampu mendapat komen ‘klise’ Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Harun setelah diumumkannya sah sebagai calon PN untuk kerusi Sepang itu.
Mungkin terlalu awal bagi menilai penerimaan rakyat terhadap PN hanya daripada program ini, tetapi sambutan jujur penduduk tidak sahaja diukur berdasarkan kepada jumlah yang hadir.
Selain Rina, kerusi Parlimen Sepang dijangka disaingi oleh Ketua Wanita PH, Raj Muni Aiman Athirah dan Ketua Pejuanita Parti Pejuang Tanah Air, Datin Paduka Che Asmah Ibrahim.
Penyandang kerusi itu, Mohamed Hanipa Maidin daripada Parti Amanah Negara mewakili PH tidak bertanding mempertahankan kerusi itu. – UTUSAN










