Anak muda lihat kesan PRU14, ekonomi terjejas - Tok Mat - Utusan Malaysia

Anak muda lihat kesan PRU14, ekonomi terjejas – Tok Mat

MOHAMAD Hasan bersalaman dengan orang ramai yang hadir pada majlis Oghang Pilah Bersamo Tok Mat di Kuala Pilah hari ini. - UTUSAN/MOHD SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Barisan Nasional (BN) menggesa jentera parti memperhebat gerakan mendampingi dan menyantuni pengundi muda dalam kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang berbaki dua hari lagi.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, jentera berkenaan perlu mengikis rasa bimbang atau khuatir untuk berbuat demikian dengan anggapan kebanyakan pengundi muda tidak menyokong BN.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya BN berkata, pengundi muda kini lebih terdedah kepada banyak maklumat serta mempunyai rangkaian luas dalam kalangan usia mereka.

“Mereka telah melihat kesan daripada PRU14 yang menyaksikan ekonomi negara terjejas. Pelaburan baharu tidak datang manakala pelabur lama bertindak keluar.

“Sedangkan anak-anak muda memikirkan nasib dan masa depan mereka. Mereka hendak membina kehidupan tetapi terhalang oleh kesan-kesan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Oghang Pilah Bersamo Tok Mat di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi BN Kuala Pilah, Datuk Ismail Lasim; calon BN bagi kerusi Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan dan pemimpin BN tempatan.

Mohamad yang juga calon BN bagi kerusi Parlimen Rembau menarik perhatian mengenai keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Februari lalu yang pertama kali melibatkan pengundi berusia 18 tahun ke atas.

Pada mulanya, tambah beliau, BN agak bimbang kerana sejumlah 750,000 pengundi baharu telah didaftarkan dengan majoritinya orang muda.

“Namun keputusan PRN itu amat menakjubkan kerana BN menang di banyak saluran pengundi muda yang terletak di kawasan bandar seperti Permas Jaya, Larkin, Gelang Patah, Yong Peng, Air Hitam dan Kluang. Dalam PRU14 lalu, banyak kekalahan kita berpunca daripada saluran pengundi muda yang tidak menyokong BN,” jelasnya.

Menurutnya, perbandingan antara PRU14 dan PRN Johor itu jelas menunjukkan bahawa pengundi muda kini tidak mudah dipengaruhi untuk menyokong pihak yang gagal mentadbir dengan cekap dan berkesan.

Mohamad dalam pada itu berkata, BN berazam untuk membina kerajaan yang kuat selepas PRU15 ini bukan setakat mentadbir negara dan berkhidmat kepada rakyat semata-mata.

Jelas beliau, BN bertekad untuk mengembalikan kedudukan Malaysia yang pernah dipandang tinggi oleh masyarakat antarabangsa.

“Dulu bila kita bercakap dunia akan bergegar. PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) bergegar dalam pelbagai isu dunia seperti konflik di Palestin. Suara kita sentiasa dinanti-nantikan.

“Namun selepas 2018, suara Malaysia sudah tidak kedengaran lagi dan kita tidak ke mana-mana dalam isu antarabangsa,” katanya.

Mohamad berkata, cita-cita BN dalam PRU15 pada Sabtu ini bukan terhenti di peringkat tempatan tetapi jauh ke seluruh dunia.

“Ini penting kerana bila dunia menyedari kehadiran kita di peringkat antarabangsa, ramai orang akan yakin dan mahu berurusan dengan kita. Siapa yang mahu membawa modal ke negara ini jika para menteri bercakap yang bukan-bukan hingga menyebabkan orang tidak lagi mahu berurusan dengan kita,” ujarnya lagi.UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya