fbpx

Ahmad Zahid mesti terima hakikat beliau beban kepada UMNO

SEBAHAGIAN ketua-ketua bahagian UMNO yang mengadakan pertemuan di ibu negara hari ini . -UTUSAN/MUHAMAD IQBAL

KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mesti menerima hakikat bahawa beliau merupakan liabiliti atau beban kepada parti khususnya UMNO. 

Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, meskipun perkara itu pahit diluahkan atas dasar rakan-rakan seperjuangan dalam arena politik, namun, Ahmad Zahid perlu berundur demi meneruskan kelangsungan UMNO. 

Justeru, beliau menggesa supaya Ahmad Zahid berundur daripada barisan kepimpinan UMNO kerana mempunyai prestasi yang tercemar (susulan kes pendakwaan di mahkamah). 

“Tetapi, oleh kerana persahabatan, kita tidak tergamak, dan kami terpaksa membayar harga yang terlalu berat (heavy price) untuk ini. Rakyat menolak kerana tidak mahu pemimpin yang tiada integriti. 

“Kalau kita dilihat tiada kesanggupan untuk membersihkan UMNO, kita mungkin akan terjun ke dalam gaung lebih dalam yang mungkin susah keluar seperti mana kita sekarang ini. 

“Pemimpin sekarang cuba mengheret UMNO melanggar keputusan PAU (Perhimpunan Agung UMNO), yang pada saya akan menjadikan UMNO lebih parah. Ahli-ahli yang kita pertahankan sekarang akan lari. Kita sudahlah sikit, kita melukai orang yang berjuang bermati-matian menolak Pakatan Harapan (PH),” katanya kepada pemberita di Pusat Dagangan Kuala Lumpur, hari ini. 

Beliau berkata demikian mewakili puluhan ketua-ketua bahagian UMNO supaya Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan akibat kegagalannya menerajui BN sehingga kalah teruk dalam PRU15. 

Hadir sama dalam sidang itu ialah Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Yahya Mat Ghani; Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd. Salim Shariff.  

Mengulas lanjut, Annuar berkata, ketua-ketua bahagian bagaimanapun tiada kuasa memaksa Ahmad Zahid melepaskan jawatannya. 

Bagaimanapun, kehadirannya selama menjadi presiden parti akan menimbulkan lebih banyak keresahan dan ketidakstabilan pada masa akan datang. 

“Sekurang-kurangnya dalam masa enam bulan kita kena buat pemilihan parti. Jika tiga empat bulan ini tidak lagi berundur, kemungkinan kerosakan berlaku lebih banyak,” katanya.  –UTUSAN

 

 

 

 

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN