Guru tadika, kelindan lori tidak mengaku aniaya anak saudara usia 10 tahun

Guru tadika, kelindan lori tidak mengaku aniaya anak saudara usia 10 tahun

KEDUA-DUA tertuduh yang memakai pelitup muka hadir untuk prosiding perbicaraan di Mahkamah Kota Bharu, Kelantan. - UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang guru tadika dan suaminya  yang merupakan kelindan lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menganiaya anak saudara mereka di sebuah rumah di Machang, dekat sini, bulan lalu.

Wan Saiful Azuan Wan Idris, 31, dan Yujas Nor Aida Jasmin Mohd. Yusoff, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri itu didakwa bersama-sama menganiaya seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun satu bulan dengan cara yang mungkin menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Sungai Mas, dekat Machang kira-kira pukul 10 malam pada 19 April 2026. Pertuduhan terhadap Wan Saiful Azuan dan Yujas Nor Aida dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syafiqah Mohamad manakala pasangan suami isteri itu diwakili peguam, Mohd. Taufikrullah Rusli dan Muhd. Zulfaqar Saharrudin.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing RM8,000 dengan syarat tambahan iaitu mereka perlu melapor diri dua bulan sekali di balai polis berhampiran.

Mahkamah menetapkan 15 Jun ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. Kedua-dua tertuduh tidak membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah.

Difahamkan, mangsa kini berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat Kedah sehingga Jun ini sebelum diserahkan kepada neneknya.

Media sebelum ini melaporkan, pasangan suami isteri itu direman tujuh hari selepas disyaki melakukan penderaan terhadap anak saudara yang berusia 10 tahun di Kampung Sungai Mas, Machang. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN