JOHOR BAHRU: Satu Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) khas dijangka akan diadakan pada 24 Jun ini dipercayai berkaitan dengan pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Perkara tersebut mula tular apabila tersebar satu mesej di aplikasi WhatsApp yang memaklumkan kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) berkenaan perkara itu, hari ini.
Mesej itu hanya sehari selepas Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi merangkap Pengerusi BN Johor mengumumkan pihaknya akan bertanding di kesemua 56 kerusi DUN pada PRN depan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor yang juga ADUN Yong Peng, Ling Tian Soon bagaimanapun memberitahu tiada sebarang arahan ataupun surat rasmi dikeluarkan mana-mana berhubung perkara tersebut, setakat ini.
“Saya baharu bertemu Menteri Besar Onn pagi tadi, kami ada program di Tasik Merdeka. Ya, saya ada baca mesej tular berhubung tarikh 24 Jun berkenaan. Setakat ini memang tiada sebarang arahan atau surat rasmi.
“Keadaan di Johor baik-baik sahaja selepas beliau umum BN akan tanding kesemua 56 kerusi DUN Johor, semalam,” katanya yang juga Ketua Pemuda MCA Kebangsaan.
Sementara itu, ADUN Pemanis, Anuar Abd. Manap pula memberitahu pihaknya bersedia untuk menghadiri sidang DUN khas tersebut sekiranya mesej tular tersebut benar.
“Jika ada arahan rasmi untuk kami hadir bersidang, maka saya akan hadir dan bersiap sedia. Setakat ni belum ada surat rasmi daripada pejabat jurutulis berkenaan sidang khas DUN ini.
“Biasanya kami akan terima makluman bertulis berkenaan perkara ini. Selagi belum ada kenyataan rasmi saya tak boleh mengiyakan atau menafikan apa yang akan berlaku,” katanya ringkas.
Pada PRN Johor 2022, BN memperoleh majoriti dua pertiga dengan memenangi 40 daripada 56 kerusi, diikuti Pakatan Harapan (12), Perikatan Nasional (tiga) dan MUDA (satu).









