Agrobank tawar pembiayaan kepada pemborong Mydin

Agrobank tawar pembiayaan kepada pemborong Mydin

MAJLIS mendatangani kerjasama strategik antara Agrobank dan Mydin Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Agrobank menandatangani perjanjian kerjasama strategik bersama Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN) Kelantan, bagi membantu mengembangkan perniagaan pemborong MYDIN Kelantan.

Menerusi perjanjian tersebut, Agrobank menawarkan kemudahan pembiayaan modal kerja sebanyak RM50,000 sehingga RM500,000 kepada pemborong MYDIN Kelantan.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Datuk Ahmad Badli Shah Raja Hussin dan Pengarah Urusan MYDIN, Datuk Wira Dr. Ameer Ali Mydin.

Tengku Ahmad Badli Shah berkata, menerusi kerjasama strategik itu, pembiayaan yang diluluskan diberikan secara pusingan dengan jumlah minimum sebanyak RM50,000 kepada pemborong MYDIN untuk tempoh pembiayaan sehingga setahun dengan kadar keuntungan yang kompetitif.

Katanya, kerjasama di antara dua entiti tersebut adalah untuk menyediakan kemudahan pembiayaan pusingan jangka pendek patuh syariah dan perkhidmatan perbankan kepada pembekal di MYDIN Kelantan yang menjalankan aktiviti di sepanjang rantaian nilai agromakanan.

“Ini sekali gus membantu meningkatkan taraf sosioekonomi dan perkembangan sektor pertanian serta agromakanan di negeri Kelantan.

“Usaha ini merupakan platform bagi memacu kejayaan agropreneur serta merealisasikan matlamat Agrobank untuk pembangunan pertanian yang kukuh, progresif dan efisien demi kesejahteraan komuniti pertanian, kestabilan ekonomi serta keutuhan sekuriti makanan negara dalam jangka masa panjang,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, ia sejajar dengan tanggungjawab ‘melangkaui perbankan’ Agrobank untuk menawarkan produk dan perkhidmatan berorientasikan pelanggan yang bertujuan untuk membantu usahawan ke arah pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Sementara itu, Ameer berkata, MYDIN yang merupakan rangkaian pemborong dan runcit halal terbesar tempatan sememangnya amat komited dalam memastikan usahawan tempatan khususnya Industri Kecil dan Sederhana (IKS) sentiasa berdaya saing dan mampan.

“Kebanyakan usahawan sekarang amat tertekan ekoran masalah aliran kewangan akibat kenaikan harga komoditi serta dalam fasa pemulihan setelah sektor ekonomi kembali dibuka ekoran pandemik Covid-19.

“Kami menyahut baik usaha murni Agrobank yang menawarkan kerjasama pembiayaan pusingan perniagaan kepada usahawan khususnya pembekal kami.

“Dengan proses pembiayaan yang tidak melibatkan karenah birokrasi dan prosedur rumit ini bakal memberi kemudahan kepada usahawan dalam memastikan daya ketahanan kewangan perniagaan mereka stabil,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN