7 Disember keputusan kerajaan, PDRM batal saman

7 Disember keputusan kerajaan, PDRM batal saman ibu model Belanda

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 7 Disember ini untuk memutuskan permohonan yang difailkan oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan kerajaan untuk membatalkan saman difailkan ibu model Belanda, mendiang Ivana Esther Robert Smit yang ditemukan maut selepas terjatuh daripada sebuah unit kondominium, lima tahun lalu.

Permohonan untuk membatalkan saman tersebut difailkan oleh kerajaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang didakwa melanggar kewajipan statutori dan cuai dalam siasatan, bagi menentukan punca kematian model Belanda itu.

Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain menetapkan tarikh itu selepas selesai mendengar hujahan daripada kedua-dua belah pihak, hari ini.

Terdahulu, Peguam Kanan Persekutuan, Mohd. Azhar Hamzah berhujah menyatakan polis masih menjalankan siasatan ke atas suspek selepas Mahkamah Tinggi mengarahkan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (kesalahan bunuh).

“Pada peringkat awal tiada langsung kecuaian dalam kes ini, oleh itu untuk menyatakan ada pelanggaran di peringkat awal, ia bukan satu kausa tindakan yang betul.

“Jadi untuk menyatakan bahawa polis melakukan pelanggaran tugas dan cuai dalam siasatan mereka ketika menyiasat kes itu di peringkat awal adalah tidak munasabah,” kata Mohd. Azhar.

Bagaimanapun, peguam keluarga mendiang Ivana Smith, Datuk Sankara Nair ketika berhujah menyatakan, permohonan kerajaan dan PDRM untuk membatalkan saman anak guamnya adalah sesuatu yang difikirkan kemudian berikutan pengembalian semula saman itu melalui keputusan Mahkamah Rayuan tahun ini.

Pada 7 Februari lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen dan memerintahkan saman itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi agar meritnya didengar.

Pada 21 April 2021, Mahkamah Tinggi membatalkan saman itu atas alasan penyataan tuntutan wanita terbabit tidak mematuhi Perintah 18, Peraturan 7 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

Christina, 58, memfailkan saman pada 20 November 2020 dengan menamakan Ketua Polis Negara (KPN), pegawai penyiasat, Asisten Superintenden, Faizal Abdullah, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga keempat.

Menurut penyataan tuntutannya, wanita itu menyatakan anak perempuannya ditemukan maut di tingkat enam CapSquare Residence di sini pada 7 Disember 2017, selepas jatuh dari tingkat 20 unit kondominium milik pasangan Amerika, iaitu Alex Johnson dan Luna Almazkyzy.

Christina berkata, dia tidak dapat menerima dapatan defendan-defendan termasuk pegawai penyiasat pertama, Sarjan Haliza menutup kes kematian anaknya sebagai `kematian atas sebab semula jadi atau bunuh diri’.

Menurut wanita itu, defendan-defendan membuat keputusan dengan tergesa-gesa tanpa membuat siasatan menyeluruh dari semua aspek dan mengambil kira laporan bedah siasat, kimia dan sebagainya sehingga melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan amalan terbaik dalam penyiasatan.

Susulan tidak puas hati tersebut, satu inkues kematian Ivana diadakan di Mahkamah Koroner Kuala Lumpur yang bermula pada 8 Ogos 2018 dengan 22 orang saksi dipanggil memberi ketengan.

Pada 8 Mac 2019, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Ivana disebabkan misadventure (kematian akibat nahas) dan tiada elemen jenayah.

Bagaimanapun, pada 22 November, Mahkamah Tinggi di sini mengetepikan keputusan koroner dan mengarahkan Jabatan Peguam Negara (AGC) meminta polis menyiasat punca kematian model berusia 19 tahun itu.

Hakim Collin Lawrence Sequerah dalam keputusannya menyatakan kematian model itu adalah disebabkan oleh ‘individu yang dikenali atau tidak dikenali’ dan tidak ada penyiasatan yang mencukupi dijalankan oleh pihak berkuasa. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya