6,914 naskhah al-Quran dirampas - Utusan Malaysia

6,914 naskhah al-Quran dirampas

NIK Yusaimi Yusoff (tengah) menunjukkan sebahagian daripada 6,914 naskhah al-Quran tanpa kelulusan KDN pada sidang akhbar di KDN Kedah, Anak Bukit di Alor Setar. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sebanyak 6,914 naskhah al-Quran tanpa kelulusan serta bahan penerbitan yang dikenakan perintah larangan dirampas Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sebuah premis di Pendang, dekat sini, Ahad lalu.

Dalam serbuan menerusi Op Naskhah kira-kira pukul 11 pagi itu, pengedar yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an turut ditahan untuk diambil keterangan.

Rampasan melibatkan 2,874 al-Quran, 4,024 bahan al-Quran dan 16 unit bahan penerbitan berbentuk buku yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM563,370.

Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Nik Yusaimi Yusoff berkata, sepasukan anggota daripada Ibu pejabat KDN Putrajaya dan Kedah memeriksa sebuah premis yang dijadikan tempat jualan serta stor penyimpanan al-Quran dan buku.

“Kita berjaya merampas al-Quran yang tidak memiliki kelulusan Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran (LPPPQ) serta buku yang dikenakan perintah larangan.

“Kebanyakan al-Quran dan buku-buku itu adalah dari Indonesia dengan harga jualan mencecah RM500 senaskhah,” katanya pada sidang akhbar di KDN Kedah di sini.

Kata beliau, pemeriksaan di premis itu mendapati lelaki terbabit menyimpan atau menyembunyikan al-Quran tanpa kelulusan dan bahan bacaan larangan tersebut di dalam kotak.

“Suspek dipercayai hanya akan mengeluarkan al-Quran atau buku itu sekiranya perlu (untuk dijual). Kita juga percaya suspek menjualnya secara dalam talian,” jelasnya sambil memberitahu suspek disyaki melakukan aktiviti jualan berkenaan sejak 2018.

Menurut Nik Yusaimi, rampasan itu merupakan yang terbesar pada tahun ini dengan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 8(1) dan 14(1) Akta Pencetakan Teks al-Quran 1986 serta Seksyen 7(1) dan 8(2) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Beliau pada masa sama menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dalam menjual, membeli, memiliki dan membaca al-Quran yang hanya diperakui oleh LPPPQ bagi memastikan teks al-Quran dibaca adalah tepat dan tidak mengandungi kesalahan.

“Al-Quran yang diperakui LPPPQ adalah naskhah yang mempunyai hologram KDN,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN