KUCHING: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim menawarkan empat janji kepada Sabah, Sarawak jika PH membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) ini.
Empat janji tersebut adalah memperkasa Wilayah Sabah dan Sarawak menerusi pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),kuasa kepada Sabah dan Sarawak, merapatkan jurang pembangunan Sabah, Sarawak dan Semenanjung, membela nasib orang asal Sabah dan Sarawak.
“Kita mahu pilihan raya ini memberi mandat supaya semua urusan yang melibatkan MA63 diselesaikan tanpa banyak rundingan, tetapi melaksanakan komitmen yang sedia ada.
“Ini termasuk pengagihan kuasa dalam sistem persekutuan, kita sudah luluskan pindaan perlembagaan yang meletakkan tiga wilayah, iaitu Sabah, Sarawak dan Semenanjung dalam kedudukan yang setaraf,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Program Tawaran Harapan untuk Sarawak di Imperial Hotel, di sini semalam.
Tambahnya, dalam menegaskan keperluan wujudnya sistem persekutuan maka pengagihan kuasa dan penurunan kuasa itu perlu dilaksanakan.
“Dalam peraturan perlembagaan dan negara yang dianggap negara persekutuan perkara ini harus berlaku.
“Ini bukan soal yang aneh kerana ia menyentuh hal-hal kepentingan rakyat termasuk soal pendidikan di mana banyak sekolah di pedalaman Sarawak dan Sabah yang daif,” katanya.
Menyentuh soal bahasa, Anwar berkata kerajaan PH juga akan mengambil berat bahasa suku kaum di Sabah dan Sarawak selain bahasa kebangsaan, bahasa Inggeris, bahasa Cina dan bahasa Tamil.
Tambahnya, di Sabah dan Sarawak timbul isu sekolah yang terpinggir dan kontroversi pembangunan sekolah yang memerlukan perhatian khusus di Sarawak dan Sabah.
Selain soal pendidikan dan kesihatan, kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak juga tidak mempunyai kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik.
Oleh itu, katanya dengan penurunan kuasa kepada negeri perkara seumpama itu boleh dilaksana oleh negeri tanpa menunggu Putrajaya.
“Sebab itu saya katakan pengagihan kuasa itu berdasarkan peraturan-peraturan dan syarat-syarat perlu dilaksanakan
“Ini yang ditekankan dalam manifesto kita (PH). Yang lebih penting soal membina kepercayaan dan keyakinan itu sangat penting supaya tidak lagi timbul rasa tersisih bukan sahaja Sabah dan Sarawak tetapi kaum dan suku kaum,” kata Anwar.
Beliau juga turut mengakui bahawa di Sarawak, khususnya di kawasan pedalaman wujud kemiskinan hingga ada tempat yang tidak ada kemudahan asas.
“Kita tahu di beberapa kawasan rakyat memiliki rumah yang daif dan dan tiada bekalan air dan elektrik maka penurunan kuasa itu perlu diberikan penekanan,” tambahnya.
Katanya, rakyat Sarawak perlu tahu bahawa PH satu-satu kerajaan yang ambil peduli bukan sahaja nasib orang Melayu dan Bumiputera, tetapi juga mengambil berat nasib etnik Cina dan India sebagai satu pasukan yang kukuh.
Menurut Anwar lagi, Barisan Nasional (BN) belum lagi tinggalkan pendekatan lapuk yang lama tentang ketuanan Melayu yang hanya menjaga etlit politik UMNO yang kaya raya.
Beliau berkata kerajaan Perikatan Nasional lebih parah lagi dari segi rekod kerja dalam menangani wabak Covid-19.
Katanya, Malaysia mencatat kadar kematian tertinggi berbanding nisbah penduduk.
Beliau turut menyelar sikap PAS yang menggunakan pendekatan menghukum orang, menghina kaum dan agama lain sewenang-wenangnya.
“Saya nak ingatkan rakan-rakan di Sarawak dan saya setuju dengan pandangan umum pimpinan Sarawak daripada pelbagai parti untuk tidak mengizinkan pengaruh fahaman perkauman sempit dan agama yang kolot masuk ke Sarawak,” kata Anwar.
Katanya, Malaysia mesti memberi tempat kepada setiap rakyat dari pelbagai kaum dan agama kerana ini hak mereka dalam negara ini.
Beliau turut menyindir kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan mengatakan “ia merupakan parlimen yang hebat kerana mengisytiharkan darurat dan mereka menggunakannya untuk meluluskan berbilion ringgit projek tanpa tender.
“Ini memualkan dan oleh itu kita mesti bersama-sama membuat keputusan untuk membetulkan (perkara) keterlaluan ini,” tambahnya. –UTUSAN









