Saham Asia susut selepas capai rekod tertinggi berikutan harga minyak naik - Utusan Malaysia

Saham Asia susut selepas capai rekod tertinggi berikutan harga minyak naik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYDNEY: Saham Asia menyusut daripada paras rekod tertinggi pada Khamis apabila harga minyak terus meningkat susulan gangguan baharu terhadap laluan perkapalan di Teluk, sekali gus menonjolkan sentimen risiko yang masih rapuh ketika perjanjian damai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran masih belum tercapai.

Memetik laporan Reuters, pasaran saham Eropah dijangka dibuka jauh lebih lemah, dengan niaga hadapan serantau susut 1.1 peratus dan niaga hadapan Wall Street turut merosot 0.5 peratus dalam dagangan Asia.

Semalaman, S&P 500 meningkat satu peratus manakala Nasdaq melonjak 1.6 peratus untuk mencatat penutupan tertinggi baharu, disokong permulaan musim pendapatan korporat yang kukuh, sekali gus meredakan kebimbangan terhadap kesihatan pengguna AS walaupun harga tenaga meningkat akibat konflik Iran.

Indeks MSCI Asia Pasifik di luar Jepun sebelum ini menjejaki kenaikan Wall Street dan melonjak ke rekod 831.56 mata, namun tekanan jualan kemudian muncul. Ia kali terakhir susut 0.5 peratus.

Indeks Nikkei Jepun melonjak ke paras tertinggi baharu untuk hari kedua sebelum jatuh 0.9 peratus, manakala pasaran di Taiwan dan Korea Selatan juga mencatat paras tertinggi baharu sebelum beralih rendah.

Saham cip biru China turun 0.8 peratus dan indeks Hang Seng Hong Kong merosot 1.1 peratus.

Kenaikan harga minyak menjadi antara faktor utama, dengan niaga hadapan Brent meningkat lagi 1.4 peratus pada hari ini kepada AS$103.30 (RM409.76) setong, selepas melonjak 3.5 peratus semalaman untuk kembali melepasi paras AS$100 (RM396.43).

Iran pada Rabu menahan dua kapal kontena yang cuba keluar dari Teluk melalui Selat Hormuz, mengetatkan kawalannya ke atas laluan air penting itu, ketika pelabur memantau sama ada gencatan senjata rapuh di Asia Barat dapat bertahan.

Ketua Strategi Pelaburan Saxo, Charu Chanana berkata, pasaran kelihatan sangat berhati-hati ketika ini.

“Kita masih berada dalam zon tiada perang, tiada damai, dan ini bermakna walaupun khabar angin peningkatan ketegangan yang belum disahkan boleh menggegarkan harga minyak dan menekan aset berisiko.

“Kenaikan harga minyak, walaupun tanpa pencetus jelas, menunjukkan pelabur kekal sangat sensitif terhadap risiko geopolitik,” katanya.

Di Wall Street semalaman, saham GE Vernova melonjak 13.75 peratus selepas pengeluar peralatan tenaga itu menaikkan unjuran pendapatan tahunan didorong ledakan kecerdasan buatan (AI), manakala Boeing meningkat lebih lima peraus selepas kerugian suku tahunan lebih kecil daripada jangkaan.

Pengeluar kenderaan elektrik Tesla melaporkan aliran tunai bebas positif yang tidak dijangka pada suku pertama, namun unjuran peningkatan mendadak perbelanjaan untuk AI dan robotik menimbulkan keraguan pelabur, dengan sahamnya susut dua peratus selepas penutupan.

Hasil Perbendaharaan AS meningkat seiring kenaikan harga minyak, manakala hasil bon dua tahun naik dua mata asas kepada 3.8106 peratus, selepas meningkat satu mata asas pada Rabu.

Hasil bon 10 tahun naik tiga mata asas kepada 4.3214 peratus, selepas hampir tidak berubah semalaman.

Pasaran mata wang secara keseluruhan tenang, dengan dolar AS mengekalkan sedikit kenaikan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN