fbpx

250 masyarakat Orang Asli mengundi di Hulu Terengganu

SEBAHAGIAN masyarakat Orang Asli yang selesai mengundi di pusat pembuangan undi di SK Tapah, Hulu Terengganu.- UTUSAN/NOOR HAYATI MAMAT

HULU TERENGGANU :  Lebih 250 masyarakat Orang Asli dari Perkampungan Orang Asli Sungai Berua, di sini, keluar secara serentak bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), hari ini.

Masyarakat  Orang Asli daripada suku kaum Semaq Beri tiba di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Tapah di sini pada pukul 8.30 pagi.

Tok Batin, Rosli Desuh, 47, berkata, dia meminta mereka keluar ke pusat pembuangan undi lebih awal bagi mengelak tercicir sekiranya mereka tidak keluar dalam satu kumpulan.

Menurutnya, masyarakat Orang Asli diminta mengundi bagi memilih pemimpin yang dapat membela nasib kaum pribumi, selain boleh membawa suara masyarakat Orang Asli ke sidang Dewan Rakyat.

“Pada PRU14 lalu kira-kira 150 orang yang layak, namun PRU15 ini pula bertambah kira-kira 100 orang termasuk pengundi berusia 18 tahun,” katanya ketika ditemui di pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan (SK) Tapah di sini, hari ini.

Seorang penduduk Orang Asli yang ditemui, Era Alias, 21, berkata, dia yang mengundi buat kalj pertama pada PRU15 ini tidak mahu melepaskan peluang sebagai pemilih.

“Teruja juga dapat sama-sama datang mengundi kerana PRU14 sebelum ini saya hanya menemani keluarga ke pusat mengundi.

“Sejak pukul 7.30 pagi, kami berkumpul di Kampung Sungai Berua, sebelum bertolak ke pusat pengundian secara beramai-ramai dengan menggunakan kenderaan masing-masing,” katanya. – UTUSAN

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN