1MDB: Pendakwaan mohon mahkamah terima rakaman Najib dan ‘Yang Mulia' - Utusan Malaysia

1MDB: Pendakwaan mohon mahkamah terima rakaman Najib dan ‘Yang Mulia’

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini memohon agar Mahkamah Tinggi di sini menerima masuk beberapa rakaman audio termasuk perbualan di antara bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan seseorang yang dipanggil ‘Yang Mulia’ (Your Highness).

Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram ketika berhujah menyatakan, mahkamah perlu menerima masuk rakaman audio tersebut kerana ia relevan kepada kes mereka terutamanya dalam menyangkal pembelaan Najib.

“Pembelaan sering menyatakan bahawa kami tidak membantah tidak menyangkal kepada pembelaan mereka (berhubung derma Arab) jadi untuk kami berbuat demikian adalah dengan mahkamah menerima masuk rakaman-rakaman ini,” katanya.

Semalam, pihak pendakwaan memainkan dua rakaman audio perbualan antara dua lelaki yang mana saksi pendakwaan ke-42, bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah menyatakan salah seorang daripadanya ‘kedengaran seperti (suara) Najib’.

Rakaman tersebut bagaimanapun dibantah oleh peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dengan mendakwa rakaman di antara dua pemimpin negara berkemungkinan mempunyai rahsia kedua-dua negara dan tidak wajar dimainkan selain meragui cara rakaman tersebut diperoleh.

Rakaman tersebut dipercayai antara rakaman-rakaman audio yang didedahkan oleh bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya pada 8 Januari 2020.

Terdahulu ketika berhujah, Sri Ram berkata, pihaknya memohon untuk memasukkan rakaman-rakaman tersebut sebagai bukti berdasarkan peruntukan Seksyen 41A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membenarkan setiap dokumen atau salinannya yang diterima oleh Suruhanjaya, untuk diterima dalam mana-mana prosiding.

Selain itu, pendakwaan juga menghujahkan sekiranya rakaman tersebut diambil secara salah, tidak wajar atau tidak patut ia masih boleh diterima masuk selagi mana ia relevan kepada kes.

Sementara itu, Muhammad Shafee memohon agar pihaknya diberi masa untuk membalas hujahan pihak pendakwaan kerana perlu melakukan beberapa penelitian sebelum mula berhujah.

Mahkamah membenarkan permohonan tersebut dan hujahan balas mengenai penerimaan masuk rakaman audio itu akan didengar pada Selasa depan.

Permohonan tersebut dibuat dalam perbicaraan kes Najib yang didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Prosiding yang didengar Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah akan bersambung esok dengan sambung bicara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN