PORT DICKSON: Taman perindustrian pertama dalam projek pembangunan jangka panjang Malaysia Vision Valley (MVV) 2.0 dilancarkan hari ini sekali gus menjadi pemangkin kepadaa pertumbuhan dan pelaburan strategik di Negeri Sembilan.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, taman perindustrian tersebut iaitu Eco Business Park 7 itu dibangunkan menerusi kerjasama syarikat awam-swasta antara Eco World Development Group Bhd. (EcoWorld), SD Guthrie Bhd, dan NS Corporation (NS Corp).
Beliau berkata, pelaksanaan projek berimpak tinggi itu selaras dengan komitmen kerajaan negeri dan Persekutuan dalam memperkukuh MVV 2.0 sebagai zon pembangunan utama negara.
“Dalam Belanjawan 2026 yang dibentangkan sebelum ini, MVV 2.0 terus mendapat perhatian sebagai salah satu zon pembangunan tumpuan.
“Peruntukan yang diumumkan membuktikan komitmen kerajaan pusat bagi memastikan kesinambungan projek strategik ini serta memperkukuh data saing negeri-negeri di wilayah tengah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran dan Pembukaan Galeri Jualan Eco Business Park 7, Taman Perindustrian Pertama Parcel C MVV 2.0 di Bukit Palandok di sini hari ini.
Aminuddin berkata, antara komponen penting pembangunan tersebut termasuk pembinaan persimpangan bertingkat (interchange) baharu di kawasan MVV 2.0 yang bakal menjadi pintu masuk utama ke zon perindustrian dan komersial itu.
“Interchange ini akan memendekkan masa perjalanan antara kawasan pembangunan dan jaringan lebuh raya utama seperti Lebuhraya Utara Selatan (Plus), Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) dan Leburaya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite),” katanya.
Menurut Aminuddin, Eco Business Park 7 dibangunkan di atas tanah bebas milik seluas 483.6 hektar di Bukit Palandok, Mukim Jimah di sini dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan sebanyak RM3 bilion.
Kata beliau, ia merupakan komponen utama Parcel C dalam pelan induk MVV 2.0 iaitu kawasan yang diperuntukkan bagi kluster industri, logistik dan ekonomi.
“Eco Business Park 7 turut dirancang sebagai pembangunan perindustrian bersepadu lengkap dengan hab komersial yang akan mewujudkan persekitaran perniagaan berdikari .
“Ia akan menawarkan lot industri kecil sederhana serta kilang siap bina, selain kemudahan runcit dan perkhidmatan bagi menyokong keperluan perniagaan dan pekerja,” katanya. – UTUSAN










