Aliff dedikasi kejuaraan dunia buat bapa

Aliff dedikasi kejuaraan dunia buat bapa

Ahmad Nor Iman Aliff Rakib diisytiharkan pemenang selepas menewaskan Sam-A Gaiyanghadao menerusi kemenangan knockout (KO) untuk merangkul Kejuaraan Dunia Interim Muay Thai Strawweight ONE Championship di Stadium Lumpinee, Bangkok, kelmarin. - IHSAN ONE CHAMPIONSHIP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jaguh Muay Thai negara, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib menzahirkan rasa syukur selepas menunaikan janjinya membawa pulang tali pinggang kejuaraan ONE Championship ke Malaysia, sambil mendedikasikan kejayaan bersejarah itu buat bapanya yang menjadi sumber inspirasi sepanjang perjalanan kariernya.

Aliff mencipta sejarah terbesar dalam karier profesionalnya apabila menewaskan legenda Muay Thai Thailand, Sam-A Gaiyanghadao menerusi kemenangan knockout (KO) untuk merangkul Kejuaraan Dunia Interim Muay Thai Strawweight pada acara ONE Championship di Stadium Lumpinee, Bangkok, kelmarin.

Kejayaan itu menyaksikan Aliff muncul atlet Malaysia pertama menjulang gelaran dunia di bawah organisasi ONE Championship, sekali gus mengharumkan nama negara di pentas seni bela diri antarabangsa.

Aliff berkata, segala pengorbanan, kesakitan dan usaha yang dicurahkan akhirnya berbaloi apabila berjaya merealisasikan impian bergelar juara dunia.

“Pertama sekali saya nak ucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang datang memberi sokongan. Saya sudah berjanji untuk membawa pulang tali pinggang ini ke Malaysia dan akhirnya saya berjaya tunaikan janji itu.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan saya yang banyak membantu sepanjang persiapan. Saya benar-benar berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan kejuaraan ini dan saya hadiahkan tali pinggang ini kepada ayah saya,” katanya sejurus tamat pertarungan.

Lebih manis, kemenangan itu turut menghadiahkan bonus prestasi AS$50,000 (kira-kira RM212,000), sekali gus menamatkan penantian lebih setahun untuk kembali menerima ganjaran daripada ONE Championship.

“Alhamdulillah, sudah lebih setahun saya tidak dapat bonus. Saya sangat bersyukur dan gembira kerana akhirnya dapat merasai semula ganjaran ini,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kejayaan Aliff sebagai satu pencapaian bersejarah yang mampu menyuntik inspirasi kepada lebih ramai anak muda Malaysia untuk berani mengejar impian mereka.

“Semoga pencapaian bersejarah ini menjadi inspirasi kepada lebih ramai anak muda untuk terus mengejar cita-cita dengan tekad, disiplin dan semangat juang yang tinggi.

“Yakinlah, tiada yang mustahil apabila usaha disertai kesungguhan dan tawakal. Syabas, Aliff. Malaysia berbangga dengan kejayaan ini,” katanya menerusi hantaran di laman sosial miliknya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN