KUANTAN: Kumpulan ajaran sesat dikenali sebagai Jemaah Nur Ahmad Istana Pelangi yang bertapak di Jerantut, dekat sini dilumpuhkan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) hasil serbuan di sebuah gudang di Kampung Sungai Putat, Pulau Tawar, pada 7 November lalu.
Dalam operasi kira-kira pukul 2.30 petang itu, lapan individu termasuk ketuanya yang digelar ‘Ayahanda’ ditahan bagi membantu siasatan.
Pengarah JAIP, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman berkata, hasil pemeriksaan di lokasi berkenaan, pihaknya menemukan dan merampas pelbagai dokumen bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah serta beberapa peralatan berunsur khurafat.
“Antara barangan yang dirampas ialah tongkat, kain kuning dan kain hitam, batu berbalut kain kuning, pelekat bertulis Solat Jamak Fardu Seumur Hidup, nota mengandungi lafaz selawat dan ikrar meragukan selain sebuah komputer riba,” katanya.
Menurutnya, semua suspek yang berusia antara 45 tahun hingga 66 tahun disiasat mengikut Seksyen 18 dan Seksyen 19 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Orang Asli dan Kemajuan Desa Negeri Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, ia adalah kes kedua ajaran sesat dikesan di negeri ini tahun ini selepas ajaran Al-Ahmadiah yang dibongkar di Temerloh, baru-baru ini.
“Sebenarnya ajaran sesat ini kita perhati dengan serius. Kita tidak mahu ia menular dan berakar umbi. Sebab itu, apabila dikesan awal, kita terus serbu. Kalau tunggu lama, ramai yang mudah terpengaruh,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Penyampaian Inisiatif Makmur Pahang Kluster Agama di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, di sini hari ini.
Pada majlis berkenaan, sebanyak 256 masjid dan surau menerima insentif RM10,000 setiap satu dengan jumlah keseluruhan RM2.56 juta. – UTUSAN










