Penyatuan ummah agenda Pas hadapi PRU16

Penyatuan ummah agenda Pas hadapi PRU16

ABDUL Hadi Awang dan Asyraf Wajdi Dusuki dalam Majlis Perasmian Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa, Kelantan semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pas menjadikan penyatuan ­ummah seba­gai antara agenda utama menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), sekali gus memberi isyarat jelas parti itu mahu memperkukuh kerjasama politik berteraskan kepentingan Me­layu dan Islam. 

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, pihaknya wajib mengambil langkah politik yang berhikmah bagi menyatukan Mela­yu Islam dan bukan Islam yang tidak ekstrem sebagai sebuah masyarakat majmuk di Malaysia.

Katanya, Pas justeru itu bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak dalam perkara yang membawa kebaikan kepada negara tanpa menggadaikan dasar dan prinsip perjuangan parti.

“Pada masa sama, perpaduan ummah tidak bererti menafikan hak masyarakat bukan Islam dan ia perlu berjalan seiring dengan jaminan keadilan kepada masyarakat bukan Islam serta penghormatan terhadap kebebasan beragama dalam kerangka Perlembagaan. 

“Usaha penyatuan ini bukan sekadar di peringkat nasional, bahkan perlu disambut di peringkat negeri, kawasan dan cawangan-cawangan,” katanya dalam Ucapan Dasar Presiden sempena Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa semalam.

Majlis perasmian Muktamar Pas itu juga dihadiri barisan kepemimpinan UMNO yang diketuai Setiausaha Agung, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki bagi mewakili Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, kerjasama politik Pas dengan parti lain di bawah konsep ta’awun bermakna parti itu akan membentuk hubungan kerjasama dalam perkara yang membawa kebaikan bersama UMNO dan Barisan Nasional (BN) dengan secara berperingkat.

Katanya, ia akan bermula dengan kerjasama yang akan membentuk satu persefahaman sebelum diperluaskan kepada peringkat-peringkat yang lebih mendalam.

“Yang pentingnya, kita mahu mempertahankan kuasa politik Melayu dan Islam. Selain itu, kita tidak mengabaikan orang bukan Islam sebagai negara berbilang agama dan kaum.

“Sebab itu kita pilih pertubuhan Melayu-Islam dan bukan Islam yang tidak ekstrem,” katanya dalam sidang akhbar.

Menurut beliau, konsep ta’awun bersesuaian dengan saranan dua bekas Mursyidul Am, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Allahyarham Datuk Dr. Haron Din suatu ketika dahulu.

“Mereka mencadangkan supaya diadakan kerjasama taawun iaitu bertolong-tolongan dan ia berbeza dengan penggabungan yang lebih berupa pencampuran beberapa parti politik di dalam satu organisasi besar.

“Kita ada banyak pengalaman dalam kerjasama sejak 1950-an sehingga 1960an. Berlangsung dengan draf perjanjian ada, tanpa perjanjian pun ada,” katanya.

Abdul Hadi berkata, kerjasama antara Pas dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) bukan perkara baharu, malah pernah berlaku ketika proses pembentukan Perlembagaan Malaysia menerusi Suruhanjaya Reid pada 1972.

“Kita (Pas) merupakan antara parti politik awal selepas merdeka dan merupakan satu-satunya parti pembangkang di era pra-Merdeka, iaitu pada 1955,” katanya.

Selain penyatuan ummah, Abdul Hadi dalam ucapan dasarnya menggariskan tujuh agenda strategik persediaan menghadapi PRU16 antaranya mempertahan kemenangan di empat negeri iaitu Kelantan, Kedah, Terengganu dan Perlis dengan setiap kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dikuasai pada pilihan raya lalu mesti dikekalkan.

“Pada masa sama, Pas juga akan memperluas kemenangan di negeri sasaran iaitu Pahang, Perak dan Selangor bagi memperkukuh penguasaan kerusi Pas dan Perikatan Nasional (PN) di peringkat Parlimen,” ujarnya.

Beliau berkata, agenda jentera pilihan raya dan penerangan turut merangkumi pemilihan calon yang memenuhi kriteria bagi memastikan kemenangan, terutama calon yang memiliki sifat istiqamah dengan parti, berintegriti dan berpengaruh dalam masyarakat.

Pada masa sama, Abdul Hadi meminta seluruh jentera dan ahli Pas menjadikan muktamar sebagai medan muhasabah diri, selain menghayati tema muktamar iaitu ‘Penyelesaian Islam Mengisi Kemenangan’ sebagai hala tuju tindakan di setiap peringkat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×