UMNO, Pas perlu kembali duduk semeja

UMNO, Pas perlu kembali duduk semeja

MOHD. RIDHUAN TEE ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sudah tiba masanya untuk UMNO dan Pas kembali duduk semeja berbincang demi masa depan agama, bangsa dan negara dalam merangka strategi politik mendepani Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Profesor di Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah berkata, UMNO dan Pas juga perlu muhasabah dan jangan saling sakit-menyakiti.

“Masih belum terlambat untuk kedua-dua parti bertaut kembali. Pokoknya, jangan saling sakit-menyakiti. Berhikmahlah. Segera UMNO dan Pas melakukan muhasabah. Rakyat yang sayangkan agama dan negara sentiasa mendoakan.

“Kebelakangan ini kedua-dua parti saling hentam-menghentam, sakit-menyakiti, luka-melukai, sehingga merenggangkan tali silaturahim. UMNO dan Pas perlu kenal siapa musuh sebenar.

“Sebagai mualaf Cina dan pengkaji politik, saya merayu, UMNO dan Pas kembalilah duduk semeja, berbincanglah demi masa depan agama, bangsa dan negara. Pada saya sudah sampai pada tahap wajib. Berlapang dada,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Mohd. Ridhuan, langkah menyegerakan gerakan penyatuan ummah antara UMNO dan Pas pasti akan menggerunkan musuh-musuh politik terutamanya DAP, PKR dan Amanah.

“Dalam kenyataan Presiden UMNO selepas kunjungan Presiden Pas ke rumahnya, permintaan hanya satu, tinggalkan Perikatan Nasional (PN) khususnya Bersatu. Jadi, tunggu apa lagi, Bersatu pun sudah menunjukkan belang, mahu menjadikan UMNO musuh utama. 

“Justeru, apakah mesej itu masih tidak jelas? Pas mesti tinggalkan PN demi maslahah yang lebih utama. Tidak ada guna lagi berkawan dengan parti yang tidak selari dengan dasar perjuangan parti,” katanya.

Sementara itu katanya, Pas harus bijak dan berstrategi dalam politik, perlu bijak memilih, kenali siapa kawan, siapa lawan manakala, UMNO pula janganlah rasakan mereka terlalu kuat kerana tidak ada parti yang boleh memerintah secara bersendirian.

“Jika Pas umumkan keluar dari PN, pasti akan berlaku gelombang yang sangat besar impaknya dalam politik Malaysia. Saya juga yakin jika UMNO dan Pas kembali bertaut, UMNO tidak akan tergesa-gesa mendesak agar PRU15 segera diadakan,” katanya.

Dalam pada itu katanya, pertemuan Presiden Pas dan Presiden UMNO baru-baru ini sepatutnya menjadi titik tolak untuk Pas meninggalkan PN dan kembalilah bertaut bersama UMNO dalam Muafakat Nasional (MN), itu pun jika Pas benar-benar sayangkan agama dan negara ini.

“Pas tidak boleh terus meneruskan terikat dengan ikatan budi tersebut bersama Bersatu, sehingga melupakan maslahah yang lebih besar. Dalam politik, kadangkala, apabila berlaku pertembungan antara isu budi dengan maslahah ummah yang lebih besar, maka ummah mesti diutamakan.

“Masa depan Islam dan negara jauh lebih besar daripada ikatan budi. Lagipun ikatan budi tersebut bukan berlaku sebelah pihak, tanpa sokongan dan sokongan UMNO dan Pas, mana mungkin terbentuk kerajaan yang ditadbir hari ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya