Rafizi nafi beli Bersama RM8.5 juta

Rafizi nafi beli Bersama RM8.5 juta

PENGASAS Parti Bersama Malaysia, Tan Gin Theam (kanan) menyerahkan sijil pendaftaran Parti Bersama Malaysia kepada Rafizi Ramli (tengah) pada Pengumuman Hala Tuju Politik Rafizi dan Nik Nazmi di Petaling Jaya. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli menafikan dakwaan beliau membeli Parti Bersama Malaysia (Bersama) dengan harga RM8.5 juta seperti yang tular di media sosial.

Beliau menyifatkan tuduhan tersebut sebagai fitnah yang didakwa disebarkan oleh ‘cyber trooper’ kerajaan serta turut dimainkan pihak tertentu termasuk Menteri Komunikasi.

Katanya, pengasas parti itu menyerahkan Bersama kepada mereka dengan harapan platform berkenaan mampu memperjuangkan nasib rakyat biasa dengan lebih baik.

“Mr. Tan, pengasas Bersama menangis masa serahkan parti ini kepada kami. Dia hanya minta jaga Bersama baik-baik dan supaya ia boleh bela rakyat biasa lebih baik daripada yang dia mampu buat sebelum ini.

“Dakwaan saya bayar RM8.5 juta untuk beli Bersama itu fitnah yang disebarkan oleh ‘cyber trooper’ kerajaan dan turut dijaja pihak tertentu. Jangan bimbang, kita serahkan kepada Allah. Ada balasan kepada mereka satu hari nanti,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Rafizi yang juga bekas Ahli Parlimen Pandan berkata, perjuangan Bersama tidak tertumpu kepada usaha mendapatkan kuasa politik dalam tempoh terdekat.

Sebaliknya, beliau berkata, parti itu diwujudkan sebagai platform politik baharu yang memberi fokus kepada masa depan rakyat biasa serta usaha mengubah sistem sedia ada menerusi pendekatan dasar yang lebih menyeluruh.

Katanya, Bersama mahu merintis Malaysia yang lebih berdaya maju untuk rakyat biasa selain melawan golongan berkepentingan yang didakwa terus menguasai sistem negara.

“Selama ini, parti politik bertukar ganti tetapi tak ramai yang berani melawan kelas-kelas berkepentingan. Akhirnya, sistem tetap sama.

“Kalau dulu, rakyat biasa kerja penat untuk hidup lebih baik kerana peluang Insya-Allah ada. Sekarang, rakyat biasa kerja penat hanya untuk dapat peluang, itu pun tak tentu berjaya,” katanya.

Menurut Rafizi, Bersama juga tidak mahu membawa budaya politik lama termasuk amalan melobi untuk mendapatkan jawatan dalam parti.

Katanya, pengurusan parti akan dibuat secara terus di peringkat kerusi Parlimen melalui aplikasi digital dikenali sebagai Kancil serta platform bersama.org bagi memudahkan urusan keahlian dan gerak kerja parti.

“Bersama tidak ada jawatankuasa penaja di peringkat kerusi Parlimen atau negeri kerana kita mahu bina jentera terus daripada kalangan ahli dan sukarelawan.

“Kita nak mula dari scratch. Kita tak nak bawa budaya dari mana-mana parti lain sebab kita mahu elakkan budaya lobi melobi untuk jadi jawatankuasa penaja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN