PETALING JAYA: Sedondon mengenakan pakaian serba hijau, pelakon, Afiq Muiz dikhabarkan sudah betunang dengan wanita pilihan hatinya, semalam.
Khabar gembira itu dikongsikan oleh Afiq menerusi perkongsian di Threads, selain memaklumkan hatinya kini dimiliki gadis bertuah itu.
“Alhamdulillah, okey saya kunci (lock),” ringkasnya.
Pun begitu, pelakon tersebut memilih untuk tidak mendedahkan wajah serta identiti tunangnya kepada umum.
Sementara itu, adiknya yang juga merupakan seorang pelakon, Aishah Azman, sempat meluahkan rasa gembira dan syukur menjadi saksi abangnya kembali menyelami fasa bahagia dengan pasangan baharu.
“Melihat awak melangkah ke fasa baharu ini memang terasa macam mimpi. Saya sangat gembira dapat menyaksikan detik ini untuk awak.
“Semoga kalian berdua dikurniakan kehidupan yang penuh dengan cinta, ketenangan, gelak tawa dan sebuah rumah yang sentiasa menjadi tempat paling selamat untuk satu sama lain.
“Semoga segala urusan dipermudahkan hingga ke hari perkahwinan dan seterusnya. Sangat bangga dengan awak, satu-satunya abang saya,” katanya di Instagram Story.
Terdahulu, Afiq pernah mendirikan rumah tangga dengan seorang wanita, Pachara Apin pada tahun 2019, namun bercerai pada tahun 2023.










