TLDM mohon tambah bajet pertahanan, elak aset terus mundur 

TLDM mohon tambah bajet pertahanan, elak aset terus mundur 

MOHD. REZA MOHD. SANY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berharap permohonan peningkatan bajet pertahanan dari satu peratus ke 1.5 peratus Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) mulai tahun depan dapat direalisasikan menjelang pembentangan Bajet 2023, Jumaat ini. 

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd. Reza Mohd. Sany berkata, peningkatan itu mengambil kira senario keselamatan serantau dan global serta perhatian yang sewajarnya terhadap pembangunan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya TLDM. 

Selain aspek pembangunan aset, beliau berkata, kerajaan perlu mengambil kira kesiagaan aset-aset sedia ada agar sentiasa bersedia untuk ditugaskan pada bila-bila masa kerana aset sedia ada tetap perlu diselenggara dan tugas itu memerlukan peruntukan mencukupi.

“Jika ia tidak diatasi dengan segera, ATM dan TLDM khasnya terus mundur ke tahap yang sukar untuk dibangunkan pada masa akan datang. Harus diingat bahawa pembangunan keupayaan ketenteraan tidak boleh diperolehi dalam masa yang singkat dan boleh dibeli di pasaran terbuka (commercial off-the-shelf). 

“Untuk meningkatkan semula tahap kesiagaan ketenteraan ke tahap yang tinggi akan memakan masa yang lama kerana peralatan ketenteraan adalah unik dan mengambil masa yang lama untuk dibina dan dibangunkan. 

“(Oleh itu, dengan) keusangan aset ATM sentiasa mendahului pembangunan atau perolehan aset baharu, di samping bajet untuk selenggaraan aset sedia ada sentiasa terhad. Maka, amat sukar untuk ATM atau TLDM mempertahan kedaulatan negara,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini. 

Jelas Mohd. Reza, keterbatasan dan keusangan aset agak menggusarkan pihaknya kerana ia menjejas kredibiliti TLDM sebagai Angkatan Laut yang mampan dan sentiasa siaga.

Beliau berkata, ini kerana dunia kini berada dalam satu situasi pergolakan, ketidakpastian, kompleks dan kekaburan mahupun kesamaran atau lebih dikenali sebagai VUCA. 

“Ia adalah satu situasi yang mana senario keselamatan dinamik dan sentiasa berubah-ubah dalam masa yang singkat serta sukar diramal. Seperti kita semua tahu, sempadan maritim negara berdepan dengan isu tuntutan bertindih, pencerobohan perairan oleh kapal atau bot asing serta kegiatan pelanunan dan rompakan di laut. 

“Aktiviti-aktiviti ini boleh mengganggu gugat aktiviti ekonomi maritim sekali gus menjejaskan keamanan perairan maritim negara. Ia menuntut TLDM memberi tindak balas atau respons sewajarnya bagi mengatasi ancaman-ancaman tersebut,” ujarnya. 

Beliau menambah, tahap kesiagaan yang dimiliki oleh ATM khususnya TLDM kini bukan sahaja menjejaskan kredibiliti ATM, malah menjejaskan maruah ATM selaku benteng utama yang dipertanggungjawab menggalas peranan besar mempertahan kedaulatan negara. 

Katanya, keruntuhan maruah itu secara tidak langsung boleh mengakibatkan hilangnya rasa hormat di persada antarabangsa terhadap negara ini. 

“Semangat sahaja tidak memadai. Mereka harus dilengkapkan dengan peralatan yang betul dan lengkap untuk mereka melaksanakan tugas dengan efisien dan berkesan. 

“Pengorbanan mereka tidak boleh diukur dengan wang ringgit dan selayaknya mereka diberikan penghormatan sewajarnya hasil dari pengorbanan mereka itu. Tolong jangan ambil kesempatan atas semangat juang mereka,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN