PETALING JAYA: Mentaliti lemah dimiliki pemain merupakan Isu utama yang membelenggu kemerosotan prestasi perseorangan badminton negara pada masa ini.
Bekas jaguh perseorangan negara, Roslin Hashim,berkata, mentaliti yang lemah, kurang inisiatif dan terlalu bergantung kepada program latihan semata-mata menjadi faktor utama mengapa pemain perseorangan gagal menyerlah berbanding pemain beregu.
“Benda ni sebenarnya semua berbalik kepada mentaliti pemain itu sendiri. Bila dah masuk pasukan kebangsaan, mereka kena tahu apa yang mereka nak. Jangan terlalu ikut budaya yang boleh jatuhkan prestasi,” katanya.
Bekas pemain No. 1 dunia itu mengakui kekurangan ketara dapat dilihat dalam acara perseorangan lelaki dan wanita, berbanding pencapaian memberangsangkan dalam kategori beregu.
“Kita tak boleh nak salahkan 100 peratus pengurusan. Pemain itu sendiri kena ada keinginan dan disiplin. Macam beregu, mereka dah ada semua asas itu, coach cuma bimbing sikit saja. Perseorangan pun perlu ada perkara sama,” tegasnya.
Menurut Roslin, masalah utama kini adalah segelintir pemain perseorangan hanya menyasarkan untuk masuk ke skuad kebangsaan, namun sebaik berjaya diserap, hala tuju dan semangat mereka mula pudar.
“Ada pemain masuk pasukan negara, tapi lepas tu sasaran dah berubah. Bila tak dapat masuk kejohanan, mula merungut. Tapi keputusan pun tak ada. Jadi kena tengok diri sendiri juga,” katanya.
Mengulas lanjut perbezaan antara era pemain dahulu dan sekarang, Roslin menjelaskan bahawa faktor kejayaan seperti Datuk Lee Chong Wei bukan hanya kerana program latihan, tetapi kerana keazaman dan inisiatif individu yang tinggi.
“Zaman Chong Wei bukan seorang saja yang dilatih. Ada tiga atau empat orang lain juga.
“Tapi kenapa hanya dia berjaya? Sebab mentaliti dan usaha sendiri. Kalau harap pada latihan saja, negara lain pun ada program sama. Bezanya ialah kerja keras sendiri.
“Tak kisahlah datang coach sehebat mana pun, kalau mentaliti pemain lemah dan suka salahkan orang, memang susah. Letaklah siapa pun, tak jadi juga,” katanya.
Sebelum ini, Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memberi isyarat jelas bahawa sektor perseorangan negara tidak boleh lagi berada di takuk lama. – UTUSAN










