Tiga remaja dicekup buat aksi ‘wheelie’ - Utusan Malaysia

Tiga remaja dicekup buat aksi ‘wheelie’

REMAJA yang ditahan selepas melakukan ‘wheelie’ di Jalan Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu, semalam. - UTUSAN/IHSAN POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Tiga remaja ditahan selepas membuat aksi mengangkat tayar depan atau ‘wheelie’ dan menunggang motosikal secara melulu di Jalan Pantai Cahaya Bulan di sini semalam.

Ketiga-tiga remaja terbabit yang berusia 16 tahun itu dicekup kira-kira pukul 6 petang semasa polis menjalankan Op Samseng Jalanan di kawasan tersebut.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, anggota polis yang menjalankan operasi melihat sekumpulan remaja menunggang motosikal.

Menurutnya, ketika itu, dua buah motosikal dengan salah sebuahnya membonceng penumpang bergerak secara beriringan dari arah sebuah pusat peranginan ke Jalan Pantai Cahaya Bulan.

“Kedua-dua buah motosikal itu telah melakukan aksi berbahaya iaitu ‘wheelie’ dan menunggang secara melulu. Dua buah motosikal itu ditahan dan tiga remaja tersebut menerima lapan saman melibatkan pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu dan tidak memakai topi keledar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Rosdi memberitahu, ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiga remaja negatif dadah dan mereka kini direman bermula hari ini untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN