PETALING JAYA: Ratu terjun negara, Nur Dhabitah Sabri mengambil keputusan untuk berehat sepenuhnya sepanjang musim 2025.
Perkara itu disahkan Pengarah Teknikal Terjun Persekutuan Renang Malaysia (MAS), Yeoh Ken Nee yang memaklumkan Dhabitah mahu memperlahankan rentak selepas mengharungi musim sibuk tahun lalu.
Penerjun kelahiran Kuala Lumpur itu sibuk dalam persiapan saat akhir ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas mendapat slot menerusi lebihan kuota yang tidak digunakan oleh atlet negara lain pada Julai tahun lalu selepas gagal melayakkan diri secara merit pada Kejohanan Dunia 2024 di Doha, Qatar.
“Selepas musim 2024, dia mahu berehat dan perlahankan sedikit latihan serta pertandingan untuk tahun ini.
“Setakat ini, dia tidak akan menyertai mana-mana kejohanan, hanya akan kembali menjalani latihan hujung Julai nanti,” kata Ken Nee.
Apa yang lebih membimbangkan, keputusan itu sekali gus menyaksikan Malaysia tidak akan menghantar wakil wanita dalam acara 3 meter (m) papan anjal individu wanita ke Kejohanan Dunia di Singapura bulan depan.
Ken Nee mengesahkan Ong Ker Ying and Lee Yiat Qing masih gagal melepas had kelayakan Skor Kelayakan Minimum (MQS) setakat ini bagi acara tersebut.
MQS merupakan penanda aras utama dalam menentukan atlet terjun negara yang layak mewakili negara di kejohanan antarabangsa.
“Setakat ini tiada penerjun wanita kita yang layak, jadi Malaysia tidak akan menghantar wakil untuk acara itu,” katanya.
Selepas menyapu bersih tiga emas pada Terbuka Malaysia 2024 November lalu nama Dhabitah langsung tidak muncul dalam sebarang kejohanan mahupun ujian pemilihan kebangsaan pada Mei lalu.
Sejak Ken Nee dilantik menjadi pengarah pada Mac lalu, penerjun berusia 26 tahun itu belum menjalani latihan di bawah kendaliannya.
Bagaimanapun, difahamkan Dhabitah dijangka kembali menjalani latihan hujung Julai ini untuk perancangan hala tujunya bagi musim depan. – UTUSAN










