PETALING JAYA: Tiga pemandu mabuk ditahan dalam operasi penguatkuasaan lalu lintas pada hujung minggu di sekitar daerah ini.
Operasi tersebut dijalankan oleh Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Daerah Petaling Jaya diketuai Deputi Superintenden Mohd. Ayob Abu dengan kekuatan seramai seorang pegawai dan 10 anggota.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, sebanyak 254 buah kenderaan dan 272 individu telah diperiksa.
“Dalam operasi ini, tiga individu yang memandu dalam pengaruh alkohol ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tahap alkohol melebihi paras yang dibenarkan.
“Sebanyak 36 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas ke atas pemandu dan penunggang kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, operasi ini akan dilaksana secara berterusan bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan lalu lintas yang ditetapkan pihak berkuasa. – UTUSAN










