Tidak berminat bermain politik parti - Wong Tack

Tidak berminat bermain politik parti – Wong Tack

WONG TACK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Penyandang Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack menegaskan beliau tidak memihak kepada mana-mana puak dalam DAP dan tiada berminat bermain politik parti selepas membuat keputusan bertanding Bebas di kerusi Parlimen Bentong pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November ini. 

Beliau dalam kenyataannya sebaliknya berkata, politik mesti tentang rakyat.

“Ia bukanlah satu permainan retorik, manipulasi dan strategi kosong hanya untuk memenangi pilihan raya.

“Ini adalah masa bagi menanam benih untuk membina satu platform kuasa sebenar rakyat dalam politik dan saya berharap ia bermula di Bentong,” katanya dalam kenyataannya di sini.

Rabu lalu, Wong Tack membuat keputusan bertanding atas tiket Bebas setelah DAP memilih Young Syefura Othman untuk bertanding di kerusi itu pada PRU15.

Pada PRU14, Wong Tack merampas kerusi Parlimen Bentong daripada Barisan Nasional (BN) selepas menewaskan Datuk Seri Liow Tiong Lai dengan majoriti 2,032 undi.

PRU14 menyaksikan tsunami politik apabila Wong Tack berjaya mendapat 25,716 undi manakala Tiong Lai (23,684 undi) dan calon Pas, N. Balasubramaniam (5,706 undi). 

Wong Tack dalam kenyataannya turut menafikan dakwaan DAP bahawa beliau tidak digugurkan sebagai calon PRU15 dan sebaliknya ditawarkan bertanding di Cameron Highlands.

Beliau mendakwa, DAP Pahang pada 16 Oktober lalu memutuskan untuk mengeluarkannya dari Bentong.

Dakwanya, selain Bentong, beliau dikatakan turut tidak akan bertanding di mana-mana kerusi di negeri ini. 

“Saya akan hilang sepenuhnya dari negeri Pahang,” dakwanya.

Menurutnya, beliau ditawarkan bertanding di kerusi Parlimen Cameron Highlands, namun menolaknya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN