SEREMBAN: Golongan ilmuwan agama dan pendakwah di negeri ini perlu meneliti metodologi dakwah bersesuaian dalam menangani pelbagai isu agama kepada masyarakat khususnya generasi muda.
Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir bertitah, perkara berkenaan mengambil kira ketika masyarakat hari ini menghadapi kehidupan moden dengan teknologi maklumat dan dunia yang lebih terbuka.
Titah baginda, Allah SWT memberikan garis panduan dalam al-Quran mengenai tatacara melaksanakan seruan ke arah kebaikan dengan menegaskan kaedah yang dapat memperkasa intelektualisme dakwah dan membawa kesejahteraan kepada masyarakat.
“Ia meliputi pendekatan dakwah dengan hikmah, memberi pengajaran dan peringatan yang baik serta perdebatan dengan cara tertib dan sopan. Sehubungan itu, masyarakat perlu memperoleh kebaikan dengan cara yang betul berpandukan ajaran Islam yang sebenar.
“Pengajaran dan peringatan yang disampaikan secara berhemah mempunyai manfaat sehingga dapat meninggalkan kesan yang mendalam kepada hati orang yang diseru, di samping berupaya mendekatkan mereka tertarik kepada agama Islam,” titah baginda pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sembilan 1444H yang diadakan di Masjid Negeri, di sini, hari ini.
Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri sentiasa meneladani Rasulullah SAW yang merupakan suri teladan terbaik umat manusia, sebagai panduan dalam pentadbiran negeri terutama dalam pengurusan dan pentadbiran hal ehwal Islam.
“Untuk tujuan itu, pelbagai dasar, inisiatif dan insentif diperkenal dan dirancang oleh kerajaan demi memastikan tidak ada rakyat yang ketinggalan dalam merasai hasil nikmat dan kemakmuran negeri ini,” katanya dalam teks ucapan dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Datuk Mohamad Taufek Abd. Ghani. – UTUSAN