Syor hala tuju kes Batu Puteh dibentang Jumaat ini

Syor hala tuju kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan dibentang Jumaat ini

lompat parti
WAN JUNAIDI TUANKU JAAFAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Laporan Pasukan Petugas Khas Semakan Undang-Undang Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada 7 Oktober ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, laporan itu mengandungi syor-syor mengenai hala tuju kerajaan berhubung kes tersebut.

“Kerajaan komited memastikan kedaulatan dan persempadanan maritim negara sentiasa terjamin dan menjadi keutamaan. 

“Penubuhan dan pelaksanaan Pasukan Petugas Khas Semakan Undang-Undang Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang dipengerusikan Mantan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali sepanjang hampir sembilan bulan mulai 9 November 2021 hingga 30 Ogos lalu adalah bukti jelas komitmen itu.

“Pasukan Petugas Khas terdiri daripada peguam tempatan yang mengendalikan kes ini pada tahun 2016 hingga 2017, pengamal undang-undang, pakar pengukuran maritim dan wakil kementerian serta jabatan yang berkepentingan telah selesai melaksanakan tugasan diamanahkan berdasarkan terma rujukan yang ditetapkan memfokus kepada aspek perundangan dan hubungan MalaysiaSingapura,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Wan Junaidi, bagi maksud menjayakan tugasan sepanjang tempoh tersebut, pelbagai pendekatan dilaksanakan Pasukan Petugas Khas seperti meneliti dan menyemak dokumentasi dan material berkaitan, mengadakan siri perbincangan atau mesyuarat dan lawatan kerja dalam serta luar negara, khidmat konsultasi bersama pakar perundangan serta juruhidrografi luar negara serta sesi temu bual dengan individu yang dikenal pasti.

Untuk rekod, penubuhan Pasukan Petugas Khas itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 9 Oktober tahun lalu bagi menyemak semula undang-undang berhubung kes kedaulatan tiga batuan tersebut.

Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 23 Mei 2008 memutuskan Batu Puteh sebagai milik Singapura namun Batuan Tengah sebagai hak kedaulatan mutlak Malaysia. Bagaimanapun keputusan di The Hague, Belanda tersebut tidak memuktamadkan status Tubir Selatan dan hanya ditentukan kemudian berdasarkan kedudukan terkini batuan itu terletak.

Sehubungan itu, sejurus selepas keputusan ICJ, Malaysia segera membina Pangkalan Maritim Abu Bakar di Batuan Tengah sebagai persediaan bagi menuntut hak Tubir Selatan di sebelahnya. Isu tuntutan bertindih Batu Puteh atau dirujuk Singapura sebagai Pedra Branca, mula tercetus pada 1979 apabila Jupem menerbitkan peta rasmi memaparkan ia dalam wilayah Malaysia.

Ia turut menjadi panas ekoran arahan penarikan rayuan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad selepas Pakatan Harapan menang Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018. Tindakan drastik pemimpin itu membangkitkan kemurkaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagai perbuatan tidak patriotik dan menjual kedaulatan negeri tersebut. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN