MINNESOTA: Suspek yang didakwa menembak mati ahli Kongres Minnesota, Melissa Hortman dan suaminya berdepan hukuman mati ketika perbicaraan bermula semalam.
Vance Luther Boelter, 57, ditahan kelmarin selepas dua hari diburu pihak berkuasa selepas dia menembak Hortman dan suaminya di kediaman mereka di Brooklyn pada awal pagi Sabtu lalu.
Boelter juga didakwa cuba membunuh seorang lagi Senator iaitu John Hoffman dan isteri, Yvette di kediaman mereka di Champlin.
Boelter memaklumkan dia tidak mampu melantik peguam sendiri dan seorang peguam bela awam dilantik untuk mewakilinya.
Pendakwa persekutuan turut mengumumkan satu dakwaan berasingan setebal 20 muka surat yang boleh membawa hukuman mati bagi kes pembunuhan Hortman.
Pemangku Peguam Negara AS untuk Daerah Minnesota, Joe Thompson, memberitahu, selain serangan di rumah Hortman dan Hoffman, Boelter juga berada di kediaman seorang wakil rakyat dan seorang senator negeri yang digambarkan sebagai rancangan untuk menghendap dan menyerang.
‘Amukan’ itu bermula dengan insiden tembakan terhadap Hoffman dan isterinya, dan berakhir dengan pembunuhan Hortman dan suaminya.
Namun, terdapat dua lagi lokasi lain yang disinggahi suspek di antara kejadian-kejadian tersebut, kata Thompson.
Selepas menembak pasangan Hoffman, Boelter yang memakai jaket taktikal hitam, perisai badan dan topeng silikon mengetuk pintu rumah seorang ahli politik di pinggir bandar Maple Grove, Minneapolis, tetapi mendapati tiada sesiapa di rumah, menurut Thompson.
Dia kemudian bergerak ke sebuah rumah di bandar bersebelahan, New Hope, tetapi meninggalkan tempat itu selepas disedari oleh seorang pegawai polis.
“Jabatan Kehakiman akan mendakwa suspek ini sepenuhnya mengikut undang-undang, dan jika disabitkan kesalahan, dia akan dikenakan hukuman berat bagi jenayah yang dilakukannya,” kata Peguam Negara Pam Bondi.










