PENDANG: Nasib tiga pelajar cemerlang lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang berdepan masalah kewangan untuk melanjutkan pelajaran di peringkat universiti mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk Surau Al-Huda, Kampung Bukit Sireh di sini.
Mereka turut bersimpati dengan keadaan Omar Mokhtar Abd. Rahman, Salmah Aminudin dan Norasyikin Azizan, masing-masing berusia 20 tahun, yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubur Panjang seperti dilaporkan akhbar ini, sebelum ini.
Pengerusi surau berkenaan, Budiman Kamis berkata, kejayaan mereka menggembirakan ahli kariah di kawasan yang menempatkan sekolah tersebut sehingga Tabung Pelajar Cemerlang diwujudkan bagi membantu menampung perbelanjaan ketiga-tiganya.
“Kami berharap sumbangan ini dapat meringankan beban keluarga mereka bagi mendaftar di universiti, kami sangat bersyukur kerana difahamkan dua daripada mereka akan mendapat biasiswa Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).
“Diharapkan mereka dapat belajar bersungguh-sungguh dan menjadi contoh kepada anak kampung lain pada masa akan datang,” katanya ketika majlis penyerahan sumbangan di SMK Kubur Panjang di sini semalam.
Pada 1 September lalu, Utusan Malaysia melaporkan Omar Mokhtar dan Salmah menyuarakan kebimbangan tidak dapat menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana muda ekoran masalah kewangan. Kedua-duanya bersama Norasyikin sebelum ini mendapat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 dalam STPM yang diduduki tahun lalu.
Sementara itu Omar Mokhtar berkata, dia terharu dengan sumbangan pihak surau yang bersimpati dengan keadaan keluarganya.
Dia yang akan memasuki Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, walaupun sudah ditawarkan biasiswa daripada universiti tersebut, sumbangan itu amat bermakna bagi menampung perbelanjaan awal termasuk membeli pelbagai barangan seperti pakaian, kasut serta sewa kenderaan untuk hari pendaftaran.
Salmah juga menzahirkan perasaan gembira apabila turut terpilih menerima sumbangan berkenaan selepas dia bersama keluarga buntu mencari perbelanjaan pada peringkat awal dahulu.
“Saya kini mampu menarik nafas lega, duit ini boleh saya beli segala kelengkapan untuk belajar di universiti. Terima kasih saya ucapkan kepada pihak surau yang simpati dengan keadaan keluarga saya,” katanya yang melanjutkan pelajaran ke Universiti Sains Malaysia (USM).
Dalam pada itu, Norasyikin yang akan ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata, sumbangan itu akan dimanfaatkan secara berhemah sehingga dia menerima biasiswa LZNK kelak.
“Alhamdulillah, mungkin ini doa ibu bapa selama ini supaya memudahkan saya melanjutkan pengajian di universiti. Ia secara tidak langsung memberi semangat kepada saya untuk belajar lebih gigih lagi di universiti,” katanya. – UTUSAN










