PUTRAJAYA: Pas akan memutuskan siapa rakan dan lawannya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) selepas mesyuarat pimpinan tertinggi parti itu Sabtu ini.
Perkara itu disahkan Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad yang memberitahu, mesyuarat tersebur akan membuat ketetapan siapa rakan kerjasama Pas pada PRU15.
“Nanti Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Takiyuddin Hassan keluarkan kenyataan rasmi. Saya difahamkan keputusannya hujung minggu ini. Mesyuarat mengenainya berlangsung Sabtu ini di Kuala Lumpur.
“Saya dimaklumkan, mesyuarat sama juga akan membincangkan ketetapan untuk bubar Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program Pra-Pelancaran Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-62 Tahun 1444H/2022M, di sini hari ini.
Ditanya kecenderungan parti itu untuk bekerjasama dengan siapa, Idris berkata, Pas kekal mahu kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dan UMNO.
“Kita mahu dua-dua belah (kedua-duanya),” katanya.
Sementara itu, sama ada beliau bertanding pada PRU15 kali ini, Idris yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, perkara itu diputuskan pimpinan parti.
“Saya bertanding pun okay, tak bertanding pun tidak apa. Apapun, tunggu hari kejadian (PRU15),” katanya. – UTUSAN