Selangor cuba halang KUKKM biarpun atas tanah persendirian

Selangor cuba halang KUKKM biarpun atas tanah persendirian – PM

ISMAIL Sabri Yaakob bersama Tengku Zafrul Tengku Aziz dan Noh Omar bergambar sewaktu Majlis Perasmian Karnival Usahawan dan Koperasi di Dataran Eco Grandeur, Puncak Alam, Selangor. - UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Kerajaan Selangor didapati cuba menghalang kerajaan sementara daripada menganjurkan Karnival Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia (KUKKM) di Puncak Alam di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lokasi karnival itu berada atas tanah persendirian dan tidak mungkin kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan (PH) dapat menghalang penganjuran program tersebut.

“Kita buat ini demi kepentingan peniaga dan usahawan Selangor, bukannya untuk berkempen (Pilihan Raya Umum Ke-15).

“Beginilah mereka (kerajaan Selangor) melayan peniaga dan usahawan. Walaupun pada mulanya tidak dibenarkan, kami bertungkus-lumus mengadakan program ini demi kepentingan peniaga dan usahawan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan perasmian KUKKM itu yang dihadiri kira-kira 10,000 pengunjung.

Yang turut hadir, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar.

Jelas Ismail Sabri, karnival itu berjaya menarik lebih ramai penyertaan berbanding sasaran asal 4,000 terutama ketika hari bekerja.

“Saya berharap mana-mana kerajaan negeri memberi ruang sekiranya program kerajaan dilakukan untuk kepentingan peniaga dan usahawan kecil.

“Karnival usahawan ini memberi ruang kepada usahawan pamerkan produk, berniaga dan sepatutnya disokong semua pihak termasuk kerajaan negeri,” ujarnya.

Kata beliau, program selama sehari itu mampu memperkasakan usahawan dan koperasi sedia ada supaya lebih maju dan berdaya saing dalam bidang perniagaan.

“KUKKM merupakan manifestasi tanggungjawab kerajaan kepada rakyat dalam menyediakan ekosistem keusahawanan holistik dan kondusif.

“Program ini berjaya menghimpunkan warga Selangor sama ada usahawan, koperasi, penjaja, peniaga kecil dan food truck yang menawarkan pelbagai produk serta barangan pada harga berpatutan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau meminta rakyat supaya memilih kerajaan yang sama sekiranya mahu mendapatkan manfaat daripada Bajet 2023 yang dibentangkan sebelum ini. 

“Jika inginkan bajet itu, pastikan pilih kerajaan yang telah membentangkannya. Kalau kerajaan lain ambil alih, tidak pasti sama ada mereka boleh memastikan bajet sama untuk rakyat,” katanya. – UTUSAN

 

Pix ZULFADHLI ZAKI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya